Karnival Arau Sejahtera serlah kepercayaan rakyat

- Advertisement -

ARAU: Karnival Arau Sejahtera 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Januari lepas di Padang Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyaksikan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

- Advertisement -

Pelbagai acara menyerlahkan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN), menjadikannya simbol perpaduan yang kukuh di negeri Perlis.

Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Solahuddin Azmi berkata, sambutan luar biasa karnival ini mencerminkan kepercayaan rakyat kepada PN sebagai platform memperkukuhkan perpaduan dan membangun masyarakat.

“Rakyat tidak sekadar hadir untuk berhibur, tetapi mereka menyokong dan yakin kepada perjuangan yang dibawa oleh PN.

“Karnival ini menjadi medan untuk memperkukuh ukhuwah dan keimanan, sekaligus menyemai keyakinan kepada masa depan negara,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti untuk menarik minat semua golongan, termasuk forum ilmiah, sesi rohani, dan acara santai untuk keluarga.

Forum ‘Persiapan Akhir Zaman’ dan Hi-Tea ‘Allah Loves You’ bersama Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa menjadi tarikan utama, memberikan impak mendalam kepada ribuan peserta.

Selain itu, aktiviti seperti sukaneka, pertandingan mewarna, dan persembahan seni tradisional turut menyemarakkan suasana.

Pemeriksaan kesihatan percuma, pameran agensi, serta konvoi motosikal pula menjadi bukti komitmen terhadap kesejahteraan komuniti dan aspirasi belia.

Solahuddin berkata, semangat kesatuan yang ditonjolkan sepanjang karnival adalah cara terbaik untuk menyampaikan mesej perpaduan dan dakwah secara kreatif kepada masyarakat.

“PAS bukan sekadar gabungan parti politik, tetapi ia platform yang mendukung nilai-nilai Islam dan perpaduan.

“Karnival ini membuktikan bahawa masyarakat bukan sahaja percaya tetapi juga komited terhadap agenda pembangunan yang dibawa,” tambahnya.

Dengan sambutan luar biasa dan pelbagai pengisian bermanfaat, karnival itu bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, tetapi juga simbol aspirasi dan harapan rakyat Perlis. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

- Advertisement -