
PUTRAJAYA: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marsuki optimis bahawa solidariti kepada Dato’ Seri Najib Razak akan menjadi titik tolak kepada usaha menyatukan umat Melayu.
Beliau turut mencadangkan agar pemimpin-pemimpin Melayu mengetepikan konflik peribadi dan memberi fokus kepada agenda menyelamatkan negara.
“Kita pernah ada tokoh seperti Tun Abdul Razak dan Datuk Asri pada tahun 1970-an. Dalam era kini, Datuk Seri Najib dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang memainkan peranan penting sebagai ikon yang boleh menyatukan parti-parti Melayu, termasuk komponen BN dan PN,” katanya.
Beliau juga menyeru semua pihak agar melupakan sejarah konflik peribadi demi membentuk kesatuan politik Melayu yang lebih kukuh.
“Sudah tiba masanya kita lupakan perbezaan dan konflik lama. Hari ini, solidariti yang ditunjukkan adalah langkah pertama untuk menyelamatkan Malaysia. Ia memerlukan jiwa besar dalam kalangan pemimpin Melayu untuk menjayakan usaha ini,” katanya
Dalam pada itu, beliau menegaskan strategi ‘pecah dan perintah’ yang digunakan oleh DAP untuk memecah-belahkan politik Melayu kini semakin kehilangan taring berikutan solidariti yang kian terjalin antara parti-parti politik utama Melayu.
Beliau berkata strategi itu telah lama menjadi modus operandi DAP bagi mengekalkan penguasaan politik mereka melalui usaha memecahkan kesepakatan antara parti-parti Melayu, terutamanya PAS dan Umno.
“Sejak dahulu, strategi utama DAP ialah ‘divide and rule’. Mereka cuba melunakkan PAS suatu ketika dahulu, tetapi PAS cepat sedar dan memilih untuk keluar daripada kerjasama itu pada 2015. Kini, mereka menggunakan pendekatan serupa dengan Umno, menyerang PAS dan memujuk Umno,” katanya kepada Harakahdaily di pintu masuk Istana Kehakiman di sini hari ini.
Menurutnya, strategi itu pernah digagalkan melalui pembentukan Piagam Muafakat Nasional pada 2019 yang menggabungkan kekuatan PAS dan Umno.
Kesepakatan itu, katanya, memberi impak besar kepada landskap politik negara.
Zuhdi turut menyatakan solidariti antara PAS, Umno, dan parti-parti lain seperti MIC dan MCA dalam perhimpunan solidariti yang berlangsung hari ini sebagai bukti bahawa strategi ‘pecah dan perintah’ DAP sedang menuju kegagalan.
“DAP paling lantang menyerang Datuk Seri Najib Razak, walaupun beliau telah memohon maaf atas insiden 1MDB yang berlaku ketika pentadbirannya. Parti itu jelas ingin mengekalkan persepsi buruk terhadap Najib sebagai sebahagian daripada strategi politik mereka,” tambahnya sambil percaya akar umbi Umno kini semakin sedar akan helah DAP.
“Kenyataan pemimpin DAP, seperti Ahli Parlimen Kepong, yang mendesak supaya tahanan rumah tidak diberikan kepada Najib, membuktikan niat mereka sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2025











