SHMMP Krismas kawal harga 9 barangan di T’ganu

Ariffin (tengah) bersama Saharuddin (kiri) melakukan tinjauan pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 di Pasar Raya Mecarto, Mayang Mall, Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak sembilan jenis barangan ditawarkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 peringkat negeri Terengganu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu diambil sebagai usaha memastikan kestabilan harga dan kesejahteraan pengguna sepanjang musim perayaan.

“Walaupun secara keseluruhan terdapat 14 barangan di bawah skim ini, di Terengganu, sebanyak sembilan barangan yang diberi tumpuan. Peniaga diwajibkan memasang tanda harga berwarna merah jambu pada barangan ini.

“Hasil tinjauan, harga yang ditawarkan di bawah skim ini berada di bawah paras harga kawalan, malah ada yang lebih rendah daripada harga borong,” katanya pada sidang media di Pasar Raya Mecarto, Mayang Mall, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut Ariffin, langkah itu bukan sahaja bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna dan peniaga, tetapi juga memastikan peniaga mematuhi harga ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). 

Mengulas lanjut kata beliau, antara barangan yang tersenarai di bawah skim berkenaan ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kobis bulat import, tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import, cili merah, bawang merah besar import, bawang besar dan lobak merah.

“Sebagai contoh, harga borong daging kambing biri-biri bertulang import ialah RM24 sekilogram, manakala harga runcitnya RM28, lebih rendah daripada harga kawalan yang ditetapkan.

“Tomato pula dijual pada harga borong RM4 sekilogram dan harga runcit RM5, tapi di sini dia harga jauh lebih rendah,” katanya.

Terdahulu, KPDN mengumumkan penguatkuasaan SHMMP Krismas 2024 selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.

Beliau berkata, SHMMP Krismas 2024 dikuatkuasakan melalui Akta kawalan harga dan anti pencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pengeluar, pemborong dan juga peruncit.

Tambahnya, KPDN Terengganu telah menugaskan seramai 118 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga untuk melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan pengguna seperti pasar raya awam, pasar tani dan pasar raya. 

“KPDN Terengganu berharap semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan ini menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi bahagian tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya tidak mematuhi apa yang di ditetapkan, peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Antaranya kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum. Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal yang dijual.

“Yang ketiga kesalahan gagal mempamerkan harga tanda harga atau senarai harga,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/12/2024

- Advertisement -