
DAMSYIK: Kerajaan baharu Syria akan menggantung perlembagaan dan parlimen negara sepanjang tempoh peralihan tiga bulan berikutan penyingkiran bekas presiden, Bashar al-Assad.
Jurucakap, Obaida Arnaout berkata, sebuah jawatankuasa kehakiman dan hak asasi manusia akan ditubuhkan untuk meneliti perlembagaan dan kemudiannya memperkenalkan pindaan.
“Tempoh peralihan ini akan berlangsung selama tiga bulan. Keutamaan kami ialah memelihara dan melindungi institusi,” katanya
Satu mesyuarat akan diadakan pada Selasa depan antara menteri keselamatan kerajaan dan bekas menteri pentadbiran Assad untuk melaksanakan peralihan kuasa tersebut.
Arnout turut berjanji bahawa negaranya akan memulakan prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan beragama dan peribadi.
“Semua orang yang melakukan jenayah terhadap rakyat Syria akan diadili mengikut undang-undang. Kami menghormati kepelbagaian agama dan budaya di Syria,” ujarnya.
Negara itu sebelum ini diperintah dengan kuku besi oleh Assad yang berusaha menonjolkan dirinya sebagai pelindung masyarakat minoriti.
Kumpulan pembangkang merampas ibu kota Damsyik pada Ahad, menyebabkan Assad melarikan diri ke dalam buangan. – Agensi / HARAKAHDAILY 13/12/2024











