
TAWAU: Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain, menyifatkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diluluskan di Dewan Rakyat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Perkara 10(1)(a) Perlembagaan memperuntukkan setiap warga Malaysia mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara untuk mengeluarkan pendapat selagi tidak menyentuh isu-isu sensitif.
Selain itu, katanya pindaan Akta 588 membelakangi prinsip serta manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila berjanji menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara.
“Beberapa peruntukan dalam pindaan Akta 588 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa untuk mengawal komunikasi dan kandungan.
“Misalnya, Seksyen 211 yang menetapkan hukuman kepada “kandungan jelik melampau” yang istilah ini terlalu subjektif. Tindakan ini boleh digunakan untuk menyekat ucapan yang sah, termasuk kritikan terhadap kerajaan atau institusi,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.
Mustaman berkata, Seksyen 252 yang berkaitan pemintasan komunikasi pula memberi kuasa kepada pendakwa raya untuk memintas dan merekod komunikasi tanpa semak imbang bebas.
“Pemintasan ini dibimbangi boleh menjejaskan kebebasan bersuara jika digunakan untuk memantau atau menyekat komunikasi yang tidak sejajar dengan kepentingan pihak berkuasa.
“Sisi negatif lain pindaan ini ialah memperuntukkan kuasa unilateral kepada menteri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menggubal peraturan tanpa perlu melalui Parlimen dengan tujuan mempercepatkan penggubalan peraturan baharu.
“Ketetapan perundangan subsidiari ini yang memberi kuasa berlebihan kepada menteri menghilangkan konsep semak dan imbang yang sangat penting dalam demokrasi berparlimen, selain dibimbangi berlaku penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Mustaman berkata, proses penggubalan undang-undang perlu melalui Parlimen untuk perbincangan awam dan bukan memberi kebebasan yang luas kepada menteri untuk menggubal peraturan di belakang tabir tanpa pengawasan.
Menurutnya, pindaan Akta 588 juga memperkenalkan Seksyen 73A yang membolehkan SKMM melakukan audit ke atas mana-mana entiti tanpa waran mahkamah.
“Ini bermaksud, pegawai SKMM boleh memasuki premis perniagaan, pejabat atau bilik pelayan data syarikat dan mengambil dokumen serta data digital pada bila-bila masa. Ini bukan sahaja boleh menyebabkan berlaku kebocoran data peribadi syarikat, bahkan melanggar hak privasi individu yang boleh diaudit tanpa waran pada bila-bila masa.
“Sewajarnya semua semakan oleh kerajaan perlu mendapat kebenaran mahkamah dan berdasarkan bukti kukuh, bukan berdasarkan keinginan pihak berkuasa semata-mata,” ujarnya.
Selain itu, katanya penalti yang berat dan tidak seimbang mengikut saiz serta kapasiti kewangan entiti yang melanggar undang-undang boleh memangsakan usahawan kecil, perniagaan mikro dan syarikat pemula (start-up).
Menurut Mustaman, pindaan akta ini juga menaikkan kadar denda daripada RM300,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum 10 tahun, manakala penalti tambahan harian sebanyak RM100,000 dikenakan jika kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
“Penalti yang berat dan tidak seimbang membezakan antara kesalahan kecil atau besar. Sama ada syarikat kecil atau besar, rakyat akan berdepan hukuman yang sama.
“Walaupun pindaan akta ini mempunyai elemen positif seperti usaha mengawal jenayah siber termasuk judi dalam talian, penipuan, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, ancaman kepada kebebasan rakyat adalah terlalu besar,” katanya.
Menurutnya, lebih membimbangkan kemungkinan akta ini disalahgunakan kerana kuasa berlebihan yang diberikan kepada menteri dan SKMM serta mengabaikan keperluan semak dan imbang.
Sehubungan itu, katanya PAS Sabah berpandangan Kerajaan Madani perlu memastikan kebebasan rakyat, mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan berpegang kepada janji PRU15 lalu. – HARAKAHDAILY 13/12/2024











