Syria: Sorotan peristiwa

- Advertisement -

DARI kejatuhan Saddam, Gaddafi dan yang terbaru Basyar, mengajar kita betapa sesebuah kezaliman lambat laun akan merugikan semua. Ia akan berpatah balik pada pelakunya. Semua maklum diktator-diktator Arab memang brutal. Kezaliman yang berpanjangan itu menghakis kesetiaan rakyat pada mereka dan kemudian mengancam keterjaminan kedaulatan. Apabila pengaruh asing datang sama ada dalam bentuk penjajahan langsung atau dorongan-dorongan yang lebih lunak, rakyat yang sudah sedia trauma akan terus berikan sokongan. Sedangkan di saat itu, diktator-diktator tersebut perlukan solidariti demi pertahankan negara mereka. Maka konflik dalaman negara-negara tirani seumpama itu berakhir dengan rakyat mereka berpihak pada dorongan luar sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

- Advertisement -

Ketika kehangatan Civil War-Proxy War di Syria lebih 10 tahun lalu, saya ambil masa untuk faham apa yang ditegaskan oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH). Penegasan beliau cuba menegur agamawan yang lazimnya mudah terjebak dengan mainan mazhab dan perkiraan binari, kerana terbiasa dengan mindset hukum. Ketika itu sensasi Sunni-Syiah dibakar dan semua maklum akan kediktatoran Basyar Assad. Diktator Arab memang brutal. Apabila TGHH selar kebangkitan palsu di sana, bukan bermaksud beliau pro Syiah atau pro Assad. Saya ambil masa lama untuk proses realiti tersebut. Apatah lagi Syeikh al-Qaradhawi, tokoh yang saya sanjungi dan kitab-kitabnya jadi bahan telaah sejak dahulu, berbeza nada dalam kecamuk tersebut.

Apabila ditekuni siri-siri penjelasan dan dialog, rupa-rupanya TGHH ajar cara membaca geopolitik dengan perkiraan yang menyeluruh. Beliau terangkan konflik Sunni-Syiah siapa punya angkara dan apa objektifnya. Beliau yang jelaskan signifikan Syria, kenapa ia cukup strategik bagi perbatasan Palestin. Kenapa cuba dikucar-kacirkan. Masih teringat analoginya, Syria adalah lubang hidung bagi nafas perjuangan Palestin. TGHH jelaskan hubungan Syria dengan perjuangan Palestin, khususnya HAMAS. Malah nadi Hizbullah yang mengancam Israel mengalir dari Syria. Betapa beliau kesal ketika itu HAMAS turut terbawa-bawa lalu menyambut konflik di Syria yang membawa kepada perpindahan pejabat HAMAS dari Syria ke Qatar. Ia bakal melemahkan HAMAS. Ternyata implikasinya benar.

Dari pengalaman melihat Arab Spring dengan mata kepala sendiri, sedikit sebanyak mengikuti secara berterusan perkembangan di Asia Barat, sangat memberi kesan terhadap pembacaan trend di sana. Zaman fitnah sifatnya memerangkap kita ke dalam dilema. Membuat penilaian sekadar melepas emosi dan secara binari, boleh menjerumuskan kita ke lubang yang sama banyak kali. Musuh buat strategi yang sama sejak dahulu, mereka tidak kutip hasil esok lusa. Tidak seperti kelaziman umat Islam yang lihat pada jangka masa pendek dan cuba ambil risiko dengan menerima bantuan dari luar, akhirnya dipergunakan. Kitaran dedahkan diri untuk dipergunakan, menafikan peringatan-peringatan sekalipun ada asasnya dan melaung doa laknat setelah ditipu, terus berulang seakan tiada muhasabah.

Sorotilah sejarah British taja Revolusi Arab 108 tahun lalu. Alasannya memang kedengaran sah, lawan Uthmaniyyah yang zalim. Waktu itu memang Uthmaniyyah melemah dan bermasalah pun. Lalu ia jadi titik mula tergadainya Palestin. Setahun selepas itu peta Arab dipecah-pecahkan. Arab Spring 14 tahun lalu, memang secara selapis untuk tumbangkan diktator-diktator Arab. Tetapi ketika itu TGHH persoalkan, kenapa diktator-diktator tertentu sahaja yang kena? Sedangkan yang lain tidak kurang zalim juga. Beliau persoal, cuba periksa polisi diktator-diktator itu terhadap Israel. Kita perlukan ilmu geopolitik yang sah dan kesedaran sejarah untuk celik makar-makar seumpama ini.

Kini bukan lagi spekulasi, Israel sudah bebas menceroboh masuk ke dalam Syria. Netanyahu pun menarik nafas lega terhadap perkembangan yang berlangsung. Kita sedia maklum cita-cita Zionis mahukan tanah dari sempadan Furat hingga ke Nil. Dalam laporan RAND 2015, Syria ingin dipecah-pecahkan ikut etnik, mazhab dan kumpulan-kumpulan proksi. Ia selari dengan peta Ralph Peters 2006. Malah perancangan itu telah awal-awal dilakarkan oleh Bernard Lewis pada tahun 1983 yang dibentangkan di peringkat kongres sulit Amerika Syarikat. Di saat ini, acara yang direncana sejak dahulu sedang berlangsung. Akhir kalam, semoga Allah selamatkan semua yang beriman.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -