
KUALA LUMPUR: Isu pendaftaran pakar perubatan ke dalam National Specialist Register (NSR) terus menjadi perhatian, dengan seramai 1,242 doktor yang telah melengkapkan latihan kepakaran masih belum didaftarkan.
Menurut Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), usaha lebih komprehensif diperlukan untuk memastikan pakar perubatan ini dapat segera didaftarkan, khususnya dalam bidang perubatan keluarga yang menjadi keutamaan.
Beliau mencadangkan agar program transfer kredit diperluas ke universiti tempatan bagi mempercepatkan proses berkenaan.
“Jadi sejauh manakah mungkin kita boleh meletakkan mereka ini supaya dapat didaftarkan melalui kredit transfer di universiti-universiti tempatan ni.
“Saya dimaklumkan mengambil masa lebih kurang dalam enam bulan mereka ini boleh boleh diluluskan,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperbanyakkan kursus latihan kepakaran baharu dalam negara, sejajar dengan potensi pakar perubatan tempatan.
“Kita mempunyai pakar-pakar yang baik, bukan sahaja dalam negara tetapi di rantau dan di peringkat antarabangsa. Kita tidak mahu pakar-pakar kita yang baik ini diremehkan kerana tidak kemampuan untuk membuat latihan-latihan kepakaran dalam negara kita,” ujarnya.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, proses pendaftaran itu sedang diperhalusi dengan teliti melalui peraturan-peraturan yang sedang dalam proses pewartaan, termasuk Peraturan 23 dan Peraturan 27.
Beliau berkata, isu transfer kredit yang dibangkitkan tidak timbul kerana program kepakaran itu sudah diiktiraf dan memenuhi standard yang ketat. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











