Pelancongan pintar bakal rancakkan TMK2025

- Advertisement -

LANGKAWI: Sejajar Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, Langkawi lebih bersedia untuk menyambut kehadiran pengunjung dan pelancong dengan pelbagai aktiviti dan kemudahan terkini.

- Advertisement -

Antaranya, Langkawi 5G Command Centre yang bakal memudahkan pelancong untuk mengakses jadual penerbangan, perjalanan, dan pelbagai info menarik di Pulau Lagenda itu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, pengoperasian pelancongan pintar di Langkawi itu bukan sahaja sebagai persediaan TMK 2025, sebaliknya merancakkan lagi aktiviti pelancongan di pulau tumpuan antarabangsa itu.

“Langkawi bersedia untuk menyambut TMK 2025 dengan pengalaman bercuti yang lebih terancang, mudah, dan serba canggih. Ini antara ‘Experience Kedah’ yang boleh memberi kenangan yang baik kepada pengunjung,” kata beliau.

Pengoperasian Langkawi 5G Command Centre itu juga ujarnya, merupakan hasrat Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah, berikutan pulau itu merupakan pintu masuk utama atau ‘gateway’ bagi TMK yang tidak sampai sebulan dari sekarang.

Dato’ Azam sebelum itu diberi taklimat berkenaan pengoperasian tersebut oleh  Ketua TM One Kedah/Perlis, Mohamad Zamri Abdul Razak di Bilik Gerakan Operasi, Pejabat Daerah Langkawi, semalam.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (UPEN), Muhamad Naqiuddin Razali dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Kedah, Mazlan Othman serta lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan.

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu juga
menerima  taklimat daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diadakan ditempat sama.

NADI katanya, menyokong agenda pelancongan digital dan kelestarian Langkawi sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia.

“Perlaksanaan ini sekali gus menjadikannya aspirasi Kedah dalam menyambut TMK 2025,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -