Fasa baharu Syria pasca Basyar al-Assad

- Advertisement -

AHAD, 8 DISEMBER 2024 telah tercatat dalam sejarah ‘tumbang’nya Damsyik, ibu kota Syria ke tangan kumpulan penentang Basyar al-Assad. Ia juga menandakan berakhirnya pemerintahan keluarga al-Assad ke atas Syria yang bermula dengan Hafiz al-Assad melalui rampasan kuasa pada 13 November 1970.

Berita tumbangnya kerajaan pimpinan Basyar al-Assad telah mengejutkan komuniti dunia dengan kumpulan penentang memulakan serangan ke atas Syria yang berpusat di Aleppo sekitar penghujung November lalu dan hanya mengambil masa tidak sampai 2 minggu untuk sampai serta menawan Damsyik sekali gus menumbangkan rejim Basyar al-Asad.

Kumpulan penentang ini terbahagi kepada dua kumpulan:

1- Syrian Democratic Force (SDF) dan Kurdistan Workers Party (PKK) yang disokong dan mendapat bantuan daripada Barat.

2- Haiah Tahrir al-Syam (HTS) dan Syrian National Army (SNA) di mana kebanyakan daripada ahli kedua-dua kumpulan ini mempunyai latar belakang pemikiran Islam serta didukungi oleh Turkiye.

- Advertisement -

Serangan mengejut kumpulan penentang Basyar al-Assad ini menimbulkan kegusaran di kalangan banyak pihak apatah lagi ketika ini sedang berlaku perang, baik di Lubnan dan Semenanjung Gaza kerana dikhuatiri ia akan melemahkan rangkaian ‘Mihwar al-Muqawamah’ atau ‘Axis Of Resistant’ yang sedang berhadapan dengan rejim Zionis Israel dengan bantuan penuh daripada Barat.

Namun begitu, kelicikan rejim Zionis Israel dan Barat untuk menyelinap masuk sekali gus memulakan operasi ketenteraan ke atas Syria melalui SDF dan PKK dalam usaha untuk memecahkan Syria serta menguasai sempadan Syria-Iraq adalah rahsia umum yang sudah terdedah. Bahkan juga ia akan mengancam keselamatan Turkiye yang menjadi sebahagian daripada kerangka besar strategi perluasan negara haram Israel.

Jika kedua-dua kumpulan ini dapat menguasai sempadan Syria-Iraq, ia akan mampu menghalang ‘jalan utama’ bantuan Iran kepada Hizbullah yang melalui Syria seterusnya akan melemah serta melenyapkan rangkaian ‘Axis of Resistant’ di Syria sekali gus mampu menjadikan Syria sebagai ‘zon pemampan’ bagi menjamin keselamatan negara haram Israel.

Dengan HTS dan SNA hanya menguasai Aleppo dan Idlib sahaja di Syria, adalah mustahil untuk menggagalkan rancangan licik rejim Zionis Israel dan Barat. Maka untuk menggagalkan rancangan jahat rejim Zionis Israel dan Barat, Turkiye melalui proksinya telah melancarkan operasi ‘Rad’a al-u‘dwaan’.

Pada awalnya Rusia dan Iran mengecam dengan keras ‘pemberontakan’ ini dengan pemimpin utama kedua-dua negara seperti Vladimir Putin dan Ayatollah Ali Khemenei menyifatkannya sebagai satu lagi usaha untuk mencetuskan ketidakstabilan di samping memberikan ‘jalan mudah’ kepada rejim Zionis Israel dan Barat untuk mengukuhkan kembali cengkamannya ke atas Timur Tengah.

Beberapa hari sebelum tumbangnya Damsyik ke tangan kumpulan penentang Basyar al-Assad, Menteri Luar Rusia, Turkiye dan Iran telah mengadakan mesyuarat tergempar di Doha, Qatar bagi membincangkan situasi genting yang sedang berlaku di Syria beserta usaha yang perlu dilakukan untuk menstabilkan kembali keadaan.

Sejurus tamatnya mesyuarat tersebut, kemaraan kumpulan penentang Basyar al-Assad di Syria khususnya ke Damsyik seperti langsung tidak mendapat tentangan daripada tentera Syria. Adalah boleh dikatakan bahawa mesyuarat tersebut telah mewujudkan persefahaman antara ketiga-tiga negara dalam menguruskan situasi kritikal yang sedang berlaku di Syria ketika itu sekali gus mengelakkan pertumpahan darah daripada berlaku.

Akhirnya Damsyik tumbang ke tangan kumpulan penentang Basyar al-Assad. Di Damsyik sendiri, kumpulan penentang Basyar al-Assad dengan mudah memasuki bandar tersebut tanpa sebarang tentangan dan berlakunya pertumpahan darah. Malah setelah ditawan Damsyik, Perdana Menteri Syria, Mohammed al-Jalali mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia untuk bekerjasama mana-mana kepimpinan baharu yang mentadbir Syria agar Syria kembali stabil dan tidak menjadi porak peranda.

Sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan Mohammed al-Jalali, pemimpin HTS Abu Mohammed al-Jolani telah mengeluarkan kenyataan bahawa institusi kerajaan akan kekal di bawah pengurusan Perdana Menteri Syria sehingga diserahkan secara rasmi kepada pentadbiran yang baharu kelak.

Perkembangan luar jangka ini mengejutkan Barat dan rejim Zionis Israel kerana pada dasarnya mereka mahu Syria terus bergolak kerana ia banyak memberi manfaat geopolitik dan kemampuan untuk mencatur kembali keadaan di Timur Tengah demi untuk mengukuhkan kembali imperialisme Barat. Dalam masa sama juga ia tentunya akan menjamin keselamatan negara haram Israel daripada sebarang ancaman.

Rejim Zionis Israel dan Barat mengikuti rapat perkembangan yang berlaku di Syria ketika ini. Malah Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu telah melawat ketumbukan tentera rejim Zionis Israel di Bukit Golan yang dijajah rejim Zionis Israel daripada Syria. Sejurus berakhirnya lawatan tersebut, tentera rejim Zionis Israel telah memulakan operasi ketenteraan ke atas Syria.

Atas arahan Benjamin Netanyahu, tentera Zionis Israel telah menawan ‘zon pemampan’ di Bukit Golan yang berada dalam kawasan Syria dan memberi amaran kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut agar tidak keluar dari kediaman mereka. Seterusnya pesawat pejuang tentera Zionis Israel mula mengebom Daraa, Damsyik, Latakia dan beberapa buah bandar lagi di Syria.

Tidak hanya rejim Zionis Israel, pesawat pejuang Amerika Syarikat juga turut melancarkan serangan udara ke atas Syria. Tentera Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah melancarkan serangan udara dan mengebom kem dan kedudukan ISIS di beberapa kawasan di Syria. Tentunya keadaan ini akan menyebabkan keadaan di Syria bertambah parah dan tidak stabil.

Di sebalik semua yang berlaku di Syria, apa yang pasti Turkiye yang paling beruntung daripada perkembangan ini kerana ia akan meringankan beban politik dalamannya berikutan ribuan pelarian Syria akan dapat pulang ke tanah air mereka. Namun yang paling ditakuti adalah rejim Zionis Israel dan Barat mengambil kesempatan ke atas apa yang berlaku di Syria ketika ini untuk memenuhi agenda mereka.

Apa yang menjadi persoalan ketika ini, jika tampuk pemerintahan baharu Syria dipimpin oleh kepimpinan Islam, adakah Barat dan rejim Zionis Israel akan berpeluk tubuh dan berdiam diri? Adakah pemerintahan baharu Syria kelak akan terus membiarkan pengkalan tentera Amerika Syarikat terus bertapak di Syria dan mencuri hasil bumi Syria?

Pastinya situasi di Syria selepas ini akan menjadi lebih genting dan mencabar berdasarkan perkembangan yang berlaku. Mudah-mudahan perkembangan yang sedang berlaku ini membuka pintu penyatuan antara Sunni, Syiah serta nasionalis Arab, Turkiye, Kurdis dan seluruh umat Islam bagi menentang musuh yang satu iaitu Zionis Israel dan Imprealisma Barat. 

Bumi Syam (Syria) dan Yaman adalah dua tempat yang disebut oleh Nabi SAW supaya umat Islam memberi tumpuan di akhir zaman ketika banyaknya berlaku fitnah. Dengan perkembangan semasa yang berlaku Insya-Allah ia bakal memberi sinar baharu kepada umat Islam. 

Sama-sama kita doakan agar keamanan dan kestabilan akan tersemai kembali di bumi Syria. Semoga Allah SWT terus memelihara bumi Syria dan mudah-mudahan perkembangan yang berlaku ini lebih baik untuk masa depan umat Islam khususnya ke arah pembebasan Baitul Maqdis dan kemerdekaan Palestin.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”.

DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN  Batu Buruk – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -