Pemain media sosial penting dalam dunia politik moden

- Advertisement -

BANGI: Platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan TikTok kini menjadi medan utama rakyat untuk mendapatkan maklumat berkenaan segala perkara yang sedang berlaku di dalam negara.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, hal ini telah dibuktikan di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan pengaruh media sosial menjadi salah satu faktor kemenangan Perikatan Nasional (PN) dan PAS di kebanyakan kawasan.

“Di dalam era digital ini, pengaruh media sosial dan suara-suara influencer (pempengaruh) sangat signifikan dengan politik Malaysia kerana mereka telah membawa mesej kepada jutaan pengikut untuk mencerminkan nilai-nilai politik yang ingin dibawa ke negara ini.

“Bagi kita, kehadiran individu, influencer terutamanya yang secara organik, yang tidak kita structure, yang tidak kita rancang, menjadikan satu kelebihan kepada PAS terutamanya dan ia telah membawa satu mesej yang amat bermakna terutama kepada generasi-generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Media dan Pempengaruh yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat, di sini semalam.

Antara yang turut hadir ialah Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden serta Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai, realiti dunia politik moden hari ini memerlukan individu dan pengamal media di platform media sosial untuk membantu dan memperjuangkan naratif parti.

“Anda semua adalah suara rakyat yang sebenar, yang mampu membina kekuatan kolektif yang lebih besar.

“Kita juga yakin jika perkara ini berterusan dalam PRU16, ia akan memberi kebaikan kepada kita semua, kerana kita yakin dalam PRU16 menyaksikan pertempuran yang lebih besar dalam medan digital.

“Oleh itu, kami mengharapkan peranan influencer ini untuk membantu kepada kemenangan PAS dan juga Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024

- Advertisement -