
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk mewujudkan pelan kontingensi yang lebih fleksibel, termasuk penjadualan semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.
Menurut Sabri Azit (PN-Jerai), pelan tersebut perlu melibatkan perancangan yang teliti bagi memastikan peperiksaan besar seperti SPM tidak lagi berlangsung pada musim tengkujuh.
Kata beliau, sidang kedua untuk pelajar yang terkesan banjir juga harus dipertimbangkan, memandangkan banjir kali ini dianggap lebih teruk berbanding 2014.
“Saya juga memahami wujudnya pekeliling menghadapi Monsun Timur Laut. Namun perlu ada kelonggaran terhadap mereka yang teruk terkesan.
“Jangankan emosi dan persediaan mental, cukuplah dengan buku dan alat peperiksaan yang hanyut dibawa air menggambarkan betapa tidak bersedianya mereka menghadapi peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau juga mempersoalkan pendirian kerajaan sekiranya berlaku peningkatan ketidakhadiran pelajar SPM akibat banjir.
“Saya juga ingin mengetahui adakah kerajaan mempunyai perancangan sekiranya berlaku pertambahan kadar ketidakhadiran calon SPM bagi tahun ini, adakah kerajaan berpendirian lebih 5,000 pelajar SPM ini sebagai kos lepas kerana masih ada 300,000 pelajar,” katanya.
Sabri berharap Kementerian Pendidikan dapat mengambil tindakan proaktif bagi memastikan hak pendidikan pelajar tetap terjamin, walau dalam keadaan apa sekalipun. – HARAKAHDAILY 3/11/2024











