Banjir gelombang pertama 2024 menguji sifat manusiawi kita

Bersama Ketua Polis Terengganu
- Advertisement -

MINGGU ini kita semua dikejutkan dengan banjir besar yang melanda sembilan buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Perlis, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Paling terkesan dengan seramai 152,000 orang yang dipindahkan ialah majoriti di Kelantan serta Terengganu, dua buah negeri jantung hati orang Melayu yang juga merupakan pengkalan kepada PAS semenjak dekad 50an yang sudah sinonim dengan banjir. Hujan yang mencurah-curah semenjak 27 November akhirnya menakung air terbesar di Terengganu dan Kelantan sehingga beberapa buah daerah terkesan teruk dengan banjir di penghujung tahun ini.

Medsos menggelegak dan penuh emosi hiba, bersulam carut marut kepada pemimpin negara, terutama pemimpin utama yang menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Keputusan tidak manusiawi yang meneruskan peperiksaan awam yang penting iaitu SPM mengundang kemarahan warganet. Direncah dengan tuding menuding serta kebodohan terutama pemimpin pembangkang negeri Terengganu dalam isu lawatan PMX ke negeri yang sedang dilanda banjir besar ini. Gambar serta video keperihan mangsa banjir tersebat dengan pantas di zaman langit terbuka ini. Rakaman tangisan, suara kepanikan meminta bantuan bergentayangan di medsos. Visual manusia berkerumun di pusat-pusat perpindahan sementara (PPS) memenuhi ruang medsos, kenderaan dijeruk air banjir seperti teh tarik mamak menghiasi setiap status pelayar FB.

Setakat artikel ini ditulis, seramai 152,000 orang mangsa telah dipindahkan ke PPS manakala kemusnahan turut berlaku akibat banjir besar yang melanda. Jalan runtuh antara yang meresahkan termasuk kejadian tanah runtuh, kerosakan infra serta kecederaan emosi mangsa banjir. Politik belantara tetap merendam subur, ejek mengejek, perlecehan, vibe dendam kesumat tetap merajai palong hati.

- Advertisement -

Seperti ulang tayang drama sketsa kehidupan, semenjak hari pertama banjir, PAS sebagai gerakan Islam yang membumi di lapangan telah menebarkan kebaktian. PAS, melalui Khidmat Malaysia dan rangkaian sivilnya, telah turun ke medan operasi, membantu pemindahan mangsa banjir, menyediakan makanan serta membantu pengemasan rumah-rumah mangsa-mangsa banjir. Sepuluh ribu anggota Jabatan Amal Malaysia berpencar ke segenap medan lapangan dengan identiti baju merah merun dengan anggotanya telah bermandi keringat membantu rakyat, disertai oleh ahli-ahli PAS. 

Sementara itu, NGO barisan hadapan misi bantuan seperti Khidmat Malaysia, Muslim Care Malaysia, Geng Ustaz (GU), Geng Talaqi dan Yayasan Amal telah mengadakan puluhan misi bantuan banjir di tempat-tempat yang terjejas. Kolaborasi di antara NGO juga telah memeriahkan dunia kesukarelawanan Malaysia.

Malaysia sekali lagi wajib bermuhasabah. Banjir ini mungkin tidak seteruk tsunami, gempa bumi atau krisis peperangan, namun bencana banjir juga membawa kepada kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyat negara ini bahkan kebijakan kerajaan dalam menguruskan bencana yang dipertikaikan rakyat.

Benar, curahan air hujan  adalah secara mendadak luar biasa dalam tempoh 24 jam di Lembah Klang bahkan dikatakan berlaku seratus tahun sekali namun banjir pada musim tengkujuh adalah sebahagian daripada sketsa bencana rutin negara.

Sepatutnya pihak kerajaan di bawah selia atur Majlis Keselamatan Negara (MKN), juga NADMA, pihak kerajaan negeri telah begitu profesional dan terarah dalam pelan pemindahan penduduk, sistem amaran banjir, pengumuman awam yang efektif, penggunaan aset negara seperti ATM, bot, hospital medan, klinik bergerak, generator dan juga sinergi pelbagai pihak jaringan sivil dalam operasi sokongan bantuan banjir. 

Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif di saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat. Peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah. PAS sendiri sebagai gerakan Islam, juga melalui entiti kerajaan negeri telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar. Walaupun tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.

Mangsa banjir amat berterima kasih dan terpanar dengan kelibat “tentera merah” atau anggota Jabatan Amal yang semenjak awal terus membantu mangsa, bahkan ada yang ditimpa kemalangan semasa bertugas. Anak muda berfikrah Islam ini dengan dilatari pelbagai latar belakang sosio ekonomi menjadi benteng paling hadapan dalam mana-mana bencana negara ini.

Mereka menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, upah mahupun pujian manusia. Guratan wajah penat namun terukir senyuman yang paling indah daripada anggota Amal sehingga mampu mengharumkan gerakan Islam yang bukan sahaja berpencak di medan siasah yang bermusim tetapi bersiaga di setiap masa untuk menyelami kejerihan rakyat. Abnaul harakah pasti merasa bangga menyarung baju relawan banjir walau tanpa upah, menggalang misi “beramal kerana Allah”.

Benarlah, banjir kali ini menjadi parameter sesebuah organisasi, samada mereka cemerlang di lapangan atau hanya gah pada carta organisasi. 

Banjir gelombang pertama 2024 ini berlangsung dalam suasana ekonomi yang suram, polemik dan intriq politik yang tak berkesudahan. Saat ini, rakyat mendambakan pertolongan dan kecaknaan pemimpin untuk menyantuni mereka. Bukannya ghairah beradu kuasa dan membidak catur permainan kuasa,  sedangkan rakyat makin muak dan dihimpit resah akibat kejelekan mengurus negara.

Jom turun kelapangan amal, kalian juga mampu meraih laba akhirat! Menyumbanglah sama ada tenaga atau wang ringgit, segalanya Tuhan tak akan terlepas pandang kebaktian kita.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS PUSAT 
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -