Pindaan Akta 342 mampu mencegah wabak

Surat terbuka kepada Ahli Parlimen

Akta 342
- Advertisement -

ADA SEGELINTIR pihak yang selalu pertikaikan kuasa diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia di dalam pindaan terbaharu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).  Argumen mereka, Ketua Pengarah Kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa akan menyalahgunakan kuasanya dalam menyekat ataupun menangkap orang-orang yang tidak sebulu dengan Kementerian Kesihatan. 

Sebenarnya, menurut Akta 342 itu, setiap arahan atau apa-apa syarat yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan adalah hanya kepada skop kawalan penyakit berjangkit sahaja. Setiap cadangan, arahan atau syarat akan dibincang dan dibentangkan terlebih dahulu dalam jawatankuasa berkaitan yang melibatkan pihak berwibawa seperti Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Penasihat Undang-undang dan lain-lain agensi pakar sebelum keputusan boleh dicapai. 

Inilah tatacara dan prosedur yang dijalankan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk apa yang akan diputuskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan atau pegawai yang diberikan kuasa terhadapnya di dalam akta tersebut.

- Advertisement -

Apa-apa tindakan dan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara dan keputusan Menteri Kesihatan serta selari dengan dasar dan strategi kesihatan awam negara yang ditetapkan oleh kerajaan. Maknanya segala tindakan dan keputusan dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan bukan bersifat individu tetapi sudah tentu dan sudah pasti mengikut lunas undang-undang demi kepentingan negara dari sudut kawalan penyakit berjangkit yang boleh mendatang mudarat yang besar kepada masyarakat.

Ketua Pengarah itu sendiri akan melaksanakan dasar atau polisi berdasarkan Pekeliling dan Garis Panduan. Garis Panduan Arahan Ketua Pengarah di bawah Seksyen 21A juga disediakan sebagai rujukan dalam penguatkuasaan Arahan Ketua Pengarah.

Setiap pegawai diberi kuasa (PDK) yang dilantik mesti mematuhi kriteria yang telah ditetapkan serta mematuhi prosedur pelantikan. Pada masa yang sama latihan dan penerangan garis panduan kepada PDK diberikan dari semasa ke semasa serta pemantauan sentiasa dilakukan. 

Jika ada pihak mempertikaikan pemakaian kamera badan (body camera) oleh PDK, ia sepatutnya tidak menjadi isu dan perlu disokong. dengan pemakaian kamera badan itu dapat memastikan tahap integriti PDK semasa menjalankan tugas. Jika terdapat salah laku atau seumpamanya yang dilihat menzalimi pihak yang dikenakan tindakan, maka kamera badan itulah bukti.

Bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa, pihak KKM telah menetapkan beberapa garis panduan dan kegagalan mengikuti garis panduan ini akan mendedahkan PDK dikenakan tindakan tatatertib. Orang awam boleh melakukan aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) sekiranya berlaku salah guna kuasa. Amalan seperti ini sudah lama diamalkan dalam negara kita, bukan terkait dengan pindaan akta 342 terkini pun.

Perlu ditegaskan di sini, pindaan Akta 342 bukan idea Menteri Kesihatan seorang sahaja. Keputusan besar seperti ini bertitik tolak dari pengalaman negara menangani krisis pandemik COVID-19 yang lalu. Sudah tiba masanya akta kawalan penyakit berjangkit ini ditambah nilai dan ditambah baik dari sudut pengurusan wabak. Apa yang kita mahu adalah menjadikan pengurusan kawalan penyakit berjangkit terutamanya pengendalian wabak penyakit itu lebih efisien dan berkesan.

Kerajaan sudah tentu tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya tanpa mendapat pandangan dan nasihat dari pakar yang terlibat di dalam bidang tersebut. 

Kita sebagai rakyat Malaysia sewajarnya menyokong Pindaan Akta 342 ini dan tidak mudah mempercayai  teori-teori dangkal dan paranoid golongan-golongan tertentu terutama sekali di dalam menangani wabak yang sedang berlaku. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga – HARAKAHDAILY 3/12/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -