Anak lihat ayah tiga kali tenggelam timbul

- Advertisement -

KUBANG PASU: Mayat seorang dewasa, Ismail Hashim, 49, yang dilaporkan lemas ketika memukat ikan dua hari lalu, ditemui jam 7:50 pagi tadi pada jarak 1.56 kilometer berhampiran Sungai Kampung Paya Parit Lateh, di sini.

- Advertisement -

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, mangsa dipercayai tersangkut pada akar kayu dalam keadaan tertiarap berhampiran tebing sungai.

Jelasnya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan hampir 36 jam membabitkan anggota BBP Jitra, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Jitra dan Sungai Petani serta Unit Anjing Pengesan (K-9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam kejadian kira-kira pukul 7:15 petang kelmarin, mangsa yang sedang memukat ikan, lemas ketika berenang menyeberangi sungai tersebut untuk merentangkan pukat.

Ketika itu keadaan sungai tersebut dipenuhi air akibat limpahan air banjir yang berlaku di daerah itu sejak beberapa hari lalu.

Pasukan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerakkan operasi mencari dan menyelamat sebaik sahaja mendapat laporan pada hari kejadian.

Sementara itu, anak mangsa, Muhammad Khairul Ikhwan Ismail, 20, berkata, beliau melihat ayahnya tenggelam agak lama sebelum timbul dan tenggelam semula sebanyak tiga kali sebelum ayah hilang dari pandangan.

“Ayah memang pandai berenang tetapi entah mengapa, tiba-tiba dia berpatah balik apabila hampir sampai di seberang. Saya cuba menarik tali yang diikat di pinggangnya tetapi tali itu terasa ringan kerana ayah telah merungkaikannya,” katanya yang turut bersama ayahnya pada petang itu untuk memukat ikan.

Tambahnya lagi, kebiasaannya, ayah beliau terlebih dahulu menyeberangi jambatan di kawasan berhampiran untuk merentangkan pukat, tetapi kali ini tiba-tiba mengambil keputusan untuk mengikat tali nilon di pinggang dan berenang ke seberang.

Kejadian itu disaksikan isteri mangsa Siti Nor Sakinah Ishak, 46, yang ketika itu sedang memancing di situ serta dua lagi anaknya, Muhammad Khairul Irfan, 15, dan Siti Nur Asyiffa, 8.

Lokasi kejadian hanya kira-kira 500 meter dari kediaman mereka di Kampung Paya Chegar dan mayat pengawal keselamatan itu dibawa ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut dan akan dikebumikan Kampung Tanah Merah.

ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah yang juga Exco Kerajaan Negeri antara hadir ke lokasi kejadian pada malam mangsa dilaporkan lemas. – HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -