
KUALA LUMPUR: Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan usaha kerajaan membantu Palestin sebagai tanda besar keprihatinan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin, walaupun secara optik ia mungkin kelihatan kecil.
Menurutnya, sebagai sebuah negara yang sentiasa menjunjung hak kemanusiaan dan keadilan sejagat serta menentang kezaliman dan penjajahan, kerajaan disarankan mempunyai perancangan yang lebih khusus ke arah membantu negara Palestin.
“Terutama dalam membantu mangsa perang yang berjumlah ratusan ribu, seumpama menghantar bantuan perubatan dan pelbagai kepakaran yang berkaitan trauma perang yang masih berlarutan sehingga hari ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam jawapannya memberitahu, Malaysia komited membantu Palestin melalui rawatan perubatan di dalam negara serta penghantaran bantuan kewangan, barangan, dan ubat-ubatan.
Usaha itu menurutnya bukan sekadar sokongan moral tetapi menunjukkan komitmen besar kerajaan dalam membantu rakyat Palestin.
Adly berkata, langkah itu penting untuk meringankan beban mereka yang terkesan akibat peperangan.
Nik Abduh dalam soalan asal meminta Menteri Pertahanan menyatakan perkembangan status terkini warga Palestin yang dibawa dari Mesir untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, kebajikan dan kelangsungan hidup serta memastikan mereka mendapatkan status sah atau dokumentasi rasmi yang diperlukan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











