
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memandangkan begitu ramai calon yang terkesan dengan banjir.
Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad memetik Bernama melaporkan keadaan banjir semakin buruk dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat 152,337 berbanding 146,611 malam tadi di mana Pahang menjadi negeri terbaru yang turut terlibat dalam banjir.
“Sebanyak 18 buah sekolah ditutup akibat banjir di Terengganu sejak dua hari lepas dan bertambah pada hari ini, manakala di Kedah sebanyak 14 buah sekolah ditutup.
“Di Perlis pula lapan buah sekolah ditutup. Keadaan di Kelantan adalah paling buruk di mana rakyat yang terjejas akibat banjir sudah mencecah 100,000 orang,” petiknya dalam satu kenyataan.
Menurut Najihatussalehah, melihat pada keadaan itu sudah tentulah mangsa-mangsa berhadapan dengan keadaan yang sukar dan tidak bersedia dari segi mental untuk menghadapi peperiksaan.
ADUN Bota itu berkata, antara yang paling terkesan ialah mangsa tanah runtuh di Ajil yang mana calon SPM itu kehilangan dua orang adiknya.
Selain itu juga, beliau menjelaskan bahawa gelombang kedua dijangka akan berlaku dan amaran yang dikeluarkan dari Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan hujan berterusan dijangka berlaku lagi di beberapa negeri.
“KPM seharusnya mengambil perhatian kepada gelombang kedua dan mungkin ada lagi gelombang ketiga sekali gus akan memberi kesan lebih teruk serta mengakibatkan banyak kemudaratan yang besar kepada tempat-tempat yang terlibat.
“Seharusnya Kementerian mengambil keputusan untuk menangguhkan peperiksaan SPM sebagai belas kasihan kepada pelajar yang terkesan banjir.
“Kerajaan boleh menyiapkan fasiliti mahupun kelengkapan namun sudah pasti kerajaan tidak dapat membantu persediaan mental calon menghadapi peperiksaan dalam keadaan rumah dan keluarga terkesan dengan banjir.
“Jentera penyelamat yang seharusnya digunakan untuk menyelamatkan orang banjir pula digunakan untuk membawa calon SPM ke fasiliti kerajaan untuk mengambil periksa pula,” katanya.
Beliau berkata, Muslimat PAS Malaysia sentiasa mendoakan seluruh rakyat yang terkesan banjir, tabah dan cekal menghadapi dugaan ini.
“Semoga semua diberi kekuatan menghadapi musibah banjir kali ini terutama buat calon-calon SPM,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











