
KUALA LUMPUR: Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menyeru kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber air bawah tanah di Malaysia yang mempunyai potensi besar tetapi masih belum digunakan secara optimum.
Beliau menyatakan bahawa Malaysia diunjurkan memiliki sumber air bawah tanah dengan kapasiti lebih daripada 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun.
“Namun, penggunaan air bawah tanah hanya berada pada kadar kurang daripada tiga peratus sahaja. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian, apakah rancangan dan tindakan yang akan diambil untuk menggembleng penggunaan lebih banyak air bawah tanah, khususnya bagi memenuhi permintaan rakyat terutama ketika musim kemarau di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat hari ini.
Khairil Nizam juga menekankan pentingnya peranan teknologi hidrogen untuk membantu penggunaan air bawah tanah sebagai sumber bagi loji rawatan air, terutamanya di kawasan yang menghadapi kekurangan bekalan air seperti Jerantut.
“Apakah aktiviti hidrogeologi yang sedang dan akan dilakukan untuk membantu penggunaan air bawah tanah sebagai sumber air di loji-loji rawatan air yang menghadapi kekurangan sumber air?
“Dan ini saya fokuskan kepada daerah Jerantut yang mempunyai masalah yang besar tentang kekurangan sumber air,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











