
KUANTAN: Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diminta untuk mengkaji semula larangan permohonan bagi pemasangan elektrik untuk rumah kedua dalam lot rumah peneroka bermula 1 Januari 2024 lalu.
Ustaz Yohanis Ahmad (PN-Pulau Tawar) berkata, pihaknya menerima banyak permintaan daripada kalangan anak-anak peneroka yang meminta agar FELDA mengkaji semula keputusan berkenaan.
“Kita menerima banyak permintaan daripada kalangan anak-anak peneroka khususnya generasi kedua dan ketiga yang mana mereka minta FELDA mengkaji balik larangan ini, kerana mereka ada yang membina rumah untuk didiami di belakang rumah ayah mereka.
“Apabila mereka siap membina rumah ini, halangan mereka adalah kerana tidak boleh dapatkan elektrik. Jadi mereka terpaksa beli lampu kedai RM2. Cas bateri, pasang. Takkan nak pakai generator? Jadi masalah,” katanya.
Beliau membangkitkan permasalahan berkenaan ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan 2025 Negeri Pahang di Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Yohanis turut menyentuh mengenai peruntukan sebanyak RM2 juta bagi penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang seperti diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dalam pembentangan Belanjawan baru-baru ini.
“Penubuhan sekretariat ini untuk manfaat warga FELDA, dipanggil muafakat. Bila muafakat ni, semua sekali, tak ada yang tertinggal. Maka saya cadangkan, Sekretariat Muafakat FELDA Pahang ini, kita libatkan semua ADUN yang dalam DUN mereka ada Felda.
“Tak semua ADUN ada FELDA, tapi ramai yang ada FELDA. Maka, alangkah manisnya jika mereka ini berada dalam sekretariat ataupun dilibatkan secara aktif dalam program-program muafakat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











