
KOTA MELAKA: Kesatuan umat Islam adalah asas penting untuk mendapatkan kuasa politik yang mampu melindungi agama dan melaksanakan Allah SWT.
Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengaitkan kejayaan Rasulullah SAW dalam menyatukan bangsa Arab yang dahulunya berpecah-belah sebagai teladan agung.
Jelas beliau, peristiwa tersebut menggambarkan betapa Islam mampu menyatukan umat manusia yang mempunyai perbezaan besar dan sebagaimana dinyatakan Allah di dalam ayat 103 surah Ali-Imran.
“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali agama Allah, jangan sekali-kali kamu berpecah belah, dan ingatlah kamu akan nikmat Allah yang dikurnikan kepada kamu, di mana kamu dahulunya bermusuh-musuhan sesama kamu, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu dan menjadikan mereka yang bersatu dan bersaudara,” bacanya ayat itu.
Jelasnya, ayat tersebut mengingatkan kepada kejayaan Rasulullah SAW menyatukan bangsa Arab yang berpecah, berperang sesama mereka serta bangsa paling degil, keras dan hidup di padang pasir kering kontang.
“Bukan berpecah, tapi berperang sesama mereka sehingga kalau melahirkan anak perempuan dibunuhnya dan ditimbus hidup-hidup kerana tidak berguna untuk berperang. Itulah jahiliyah Arab.
“Namun Nabi kita Muhammad SAW telah berjaya menyatukan mereka, menjinakkan hati-hati mereka dan menjadi bangsa yang bersatu bersama dengan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan majlis Pelancaran Pembangunan Kompleks PAS Melaka di Perkarangan Pejabat PAS Melaka di Semabok, di sini, pada Sabtu.
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Islam bukan sahaja menyatukan hati manusia, tetapi juga menjadi landasan untuk mentadbir dunia dengan keadilan dan amanah.
“Islam telah berjaya menyatukan bangsa Arab yang berpecah dan menghilangkan sifat-sifat buruk yang ada pada mereka. Tujuan bersatu ialah untuk mendapat kuasa politik dan kuasa pemerintahan negara yang melindungi agama Islam Allah SWT.
“Hal ini kerana Allah menjadikan manusia dengan tiga tujuan iaitu supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah SWT; berpolitik untuk mentadbir dan memerintah; dan menunaikan amanah untuk menegakkan hukum Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, betapa pentingnya kuasa politik yang berpaksikan Islam maka seluruh ajaran agama dapat dilindungi dan dilaksanakan sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











