Sekat fahaman songsang ‘child free’ pasangan baru berkahwin

Nik Bahrum Nik Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dicadang memperkasakan Dasar Lelaki Qawwam bagi menyekat fahaman songsang iaitu ‘child free’ atau bebas anak yang semakin menular dalam masyarakat sekarang.

- Advertisement -

Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) berkata, istilah yang semakin hangat diperkatakan itu, memberi gambaran tiada keinginan untuk memiliki anak walaupun sudah mendirikan rumah tangga.

Katanya, antara punca agenda tersebut kerana golongan lelaki atau suami kurang memahami konsep ketua keluarga dengan kehadiran insan baharu dalam kehidupan mereka.

“Saya percaya antara sebab pemikiran ini timbul apabila suami kurang sikap melindungi wanita, maka tiada sakinah dalam keluarga.

“Ini bukan bermaksud memberi gambaran wanita lemah dan tidak berupaya menguruskan keluarga, sebaliknya ia menekankan peranan lelaki sebagai pemimpin dan pelindung kepada keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Belanjawan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Nik Baharum berkata, menerusi dasar tersebut peranan serta tugas lelaki sebagai ketua keluarga perlu ditambah baik.

Menurutnya juga dengan memperkasakan aspek tersebut banyak masalah sosial yang melingkari institusi kekeluargaan dan masyarakat dapat dinoktahkan sebaik mungkin.

“Agenda pemerkasaan lelaki sebagai qawwan sama penting agenda memperkasakan wanita, kita perlu memastikan sejak usia kanak-kanak lagi dibentuk dengan nilai-nilai kepimpinan yang baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024

- Advertisement -