Taraf hidup pincang, ekonomi rakyat terluka

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan pengurangan subsidi yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2025 mendapat kritikan pedas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai berisiko tinggi dan berpotensi menambah bebanan kehidupan rakyat, di samping merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Kata beliau, pelbagai naratif dimainkan oleh pihak kerajaan kononnya langkah itu akan membawa penjimatan lebih signifikan seperti penjimatan hasil penyasaran subsidi eletrik, ayam dan diesel yang telah dilakukan.

“Adakah belum memadai keperitan rakyat berhadapan kenaikan harga barang hasil daripada penyusutan subsidi daripada kerajaan sebelum ini? Menjadi seorang pemimpin tidak boleh hanya perlu bersandar kepada angka dan laporan sahaja.

“Berpegang kepada laporan DOSM bahawa inflasi hanya meningkat dua peratus sahaja pada Mei 2024 iaitu lebih rendah pada bulan yang sama berbanding tahun sebelumnya.

“Namun kepincangan taraf hidup perlu juga dilihat dengan mata kasar kerana mungkin wujud pembolehubah yang tidak dilihat atau terlepas pandang dalam memutuskan nilai inflasi sekali gus tidak mencerminkan luka ekonomi sebenar rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Shah juga menyuarakan kebimbangan mengenai pengenalan golongan ‘maha kaya’ dan langkah penyusutan subsidi berfokus kepada golongan T15, yang mana terdiri daripada pekerja profesional dan golongan pertengahan.

Menurut beliau, golongan itu menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Jika bukan golongan ini yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara, adakah golongan maha kaya kartel-kartel yang kerajaan harapkan untuk merancakkan ekonomi negara?

“Sudah pasti label statistik masyarakat baharu, T15 dan penyusutan subisidi sama ada bersasar atau tidak ini hanya akan mengundang kesusahan dan merencatkan ekonomi negara akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -