
TUMPAT: Kerajaan negeri menyambut baik langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan yang akan menahan mana-mana individu menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, langkah itu amat wajar bagi membendung gejala yang tidak diingini.
Menurutnya, semoga tindakan yang dibuat PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA), dapat membendung gejala tidak diingini seperti penyeludupan senjata api, dadah termasuk pil kuda.
“Kita nasihatkan masyarakat Kelantan dan negara ini yang ingin ke negara jiran melalui jalan yang sah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah dhuafat kepada Che Jah Ab Kadir di Kampung Simpangan, dekat sini semalam.
Semalam Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengumumkan, pihaknya akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember ini.
Katanya, mereka melakukan kesalahan itu akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155). – HARAKAHDAILY 19/11/2024











