Pertimbang swasta kutipan sisa pepejal, pembersihan awam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedang mengkaji dan mempertimbangkan penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam selaras dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beberapa cadangan telah diterima daripada syarikat-syarikat berkaitan.

“Buat masa sekarang, kerajaan negeri dalam peringkat kajian dan pertimbangan untuk penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal kerana ianya akan melibatkan implikasi terhadap kewangan Kerajaan Negeri dan PBT serta implikasi kepada perundangan sedia ada.

“Kerajaan negeri juga bercadang untuk mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bagi mengetahui lebih lanjut proses-proses.

“(Iaitu) sekiranya kerajaan negeri bersetuju menerima pakai Akta 672 tersebut disamping mendapatkan input-input tambahan daripada negeri-negeri lain yang telah menerima pakai Akta 672 tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi jawab lisan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menjawab berhubung implikasi kewangan dan perundangan, beliau berkata, kerajaan negeri dan PBT perlu membuat sumbangan ke dalam Kumpulan Wang Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di bawah Kerajaan Persekutuan jika akta tersebut diterima.

“Sekiranya kerajaan negeri menerima Akta 672, kerajaan negeri haruslah memperhalusi implikasi kewangan kerana kawasan yang pembangunan baharu perlu diserap oleh PBT atau kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Selain itu, setiap PBT juga perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk tempoh 21 tahun ke belakang bagi memastikan penerimaan akta tersebut tidak membebankan PBT pada masa akan datang.

“Berkaitan implikasi kepada perundangan, kajian secara menyeluruh perlu dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri bercadang untuk menerima pakai akta tersebut kerana kerajaan negeri khususnya PBT tidak lagi mempunyai kuasa eksekutif.

“(Iaitu) bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam memandangkan kuasa berkaitan pengurusan sisa pepejal di bawah Akta 171 dan Undang-undang Kecil PBT akan terhapus sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -