
TUMPAT: Dua pasar terapung di gugusan pulau dekat sini akan ditutup sementara berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal melanda negeri-negeri di Pantai Timur.
Pasar Terapung Pulau Suri ditutup buat sementara bermula Ahad lepas, manakala di Sri Tanjong pula akan beroperasi sehingga 23 November ini.
Bagi pengunjung dan pelancong yang mahu bertandang ke lokasi terbabit perlu menaiki bot menyusuri Sungai Kelantan sebelum sampai ke pasar berkenaan.
Kedua-dua pasar terapung tersebut menjadi tumpuan pelancong khususnya pada cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.
Penutupan sementara dua pasar terapung tersebut menjadi kebiasaan menjelang akhir hujung tahun bagi menghadapi musim tengkujuh.
Pengurus Pasar Terapung Sri Tanjong, Saidi Mamat berkata, keadaan arus sungai yang deras boleh membahayakan pengunjung.
“Kebiasaannya kami akan menutup pasar terapung lebih kurang dua bulan dan akan dibuka kembali sehingga keadaan cuaca kembali baik,” katanya ketika dihubungi.
Beliau juga berkata, kemungkinan tempoh pembukaan pulau berkenaan agak lama kali ini memandangkan umat Islam akan menyambut Ramadan pada akhir Februari 2025. – HARAKAHDAILY 14/11/2024











