
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk mengadakan pemantauan secara menyeluruh dalam melihat pengurus kemudahan (FM) di kuarters-kuarters kerajaan Putrajaya.
Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, sudah banyak aduan yang diterima yang mana FM memberi respons yang lambat terhadap aduan penduduk perumahan tersebut.
“Ini kerana saya banyak menerima aduan terdapat keadaan di mana respon daripada FM terhadap penduduk agak lewat,” katanya ketika sesi Perbahasan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa JPM di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, isu sebegini diikuti dengan berkaitan dengan kerosakan lif di kuarters-kuarters kerajaan tersebut yang sering berlaku sehingga kini.
Tambah beliau, sudah berkali-kali perkara ini dibangkitkan dalam Dewan Rakyat tetapi penyelenggaraan dan pembaikan lif mengambil masa terlalu lama.
“Isu sebegini telah menyukarkan penduduk itu sendiri. Soalan saya, apakah kerajaan tidak boleh menyediakan satu tatacara pengendalian piawaian (SOP) bagi mempercepatkan proses tersebut?” katanya lagi.
Beliau menyeru kepada pihak kerajaan supaya dapat menyelesaikan isu-isu sebegitu demi menjaga penduduk kuarters-kuarters kerajaan Putrajaya itu sendiri. – HARAKAHDAILY 13/11/2024











