
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menekankan kepentingan kemandirian kewangan dan pengurusan ekonomi dalam kalangan graduan UniMAP sebagai asas kejayaan di masa hadapan.
Titah ini disampaikan sempena Sidang Terakhir (tujuh) Istiadat Konvokesyen ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, UniMAP Pauh Putra, di sini semalam.
“Buat para siswazah, semoga pencapaian yang membanggakan ini menjadi titik tolak dalam kehidupan masing-masing untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan, kejayaan seorang mahasiswa bukan hanya diukur dari segi akademik semata-mata, tetapi juga kemampuan dalam menguruskan kewangan dan mencapai kemandirian ekonomi.
Tiga aspek penting yang diketengahkan baginda adalah penyediaan bajet, pengurusan hutang, serta tabungan dan pelaburan untuk masa depan.
“Amalan bijak dalam pengurusan perbelanjaan harian membolehkan anda mengekalkan kestabilan kewangan,” titah baginda lagi.
Bagi graduan mempunyai pinjaman pendidikan, baginda menekankan kepentingan menyusun strategi pembayaran balik secara konsisten untuk mengurangkan beban kewangan jangka panjang dan membina rekod kredit yang baik.
Baginda turut menggalakkan para graduan untuk melabur sebahagian daripada pendapatan mereka bagi tujuan jangka masa panjang, sebagai cara untuk mengumpul aset dan mencapai kestabilan kewangan di masa hadapan.
Mengakhiri titah, Tuanku Syed Faizuddin berharap agar para graduan sentiasa mengenang jasa ibu bapa dan menghargai UniMAP sebagai institusi yang membantu membentuk masa depan mereka.
“Kenanglah jasa ibu dan bapa, usah dilupa UniMAP tercinta, kasihnya ibu sayangnya bapa, hargai guru penyuluh pelita,” titah baginda, mengakhiri dengan rangkap puisi khas buat para graduan. – HARAKAHDAILY 13/11/2024











