
KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menyuarakan kebimbangan berkenaan pengurangan peruntukan kerajaan bagi pembangunan harta wakaf untuk tahun 2025, yang hanya bernilai RM450,000 berbanding lebih daripada RM5 juta pada tahun 2023 dan 2024.
Beliau turut meminta perincian mengenai langkah-langkah untuk memastikan peruntukan itu digunakan dengan berkesan.
“Mohon berikan butiran projek di bawah tujuan ini yang dianggarkan bernilai RM25 juta. Kita dimaklumkan bahawa aset wakaf di Malaysia telah mencecah RM1.3 trilion pada 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut beliau, data Jauhar menunjukkan hanya 13 peratus atau 30,000 hektar tanah wakaf telah dimajukan, kebanyakannya untuk pembangunan institusi dan sekolah agama.
“Sejauh manakah ia dibiayai oleh instrumen wakaf supaya boleh dikomersialkan secara produktif,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memanfaatkan baki 87 peratus tanah wakaf yang masih belum dibangunkan.
“Apakah tindakan kerajaan untuk manfaatkan baki tanah wakaf yang tidak diusahakan,” soalnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024











