Kenapa naikkan lagi elaun ahli Lembaga Tabung Haji?

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mempersoalkan tindakan kerajaan yang telah pun meluluskan kenaikan elaun ahli-ahli Lembaga Tabung Haji.

- Advertisement -

Beliau berkata kos peningkatan untuk mengerjakan haji telah pun meningkat dengan sangat mendadak dibandingkan dengan sebelum ini.

“Jadi soalan saya, adakah tindakan menaikkan elaun ini merupakan sesuatu yang baik kepada pendeposit Tabung Haji itu sendiri?

“Apakah kewajarannya dalam melakukan sedemikian ketika menghadapi situasi yang ada pada hari ini?” katanya dalam Sesi Perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, rakyat sendiri pun tidak mahu elaun ahli-ahli Lembaga Tabung Haji ini dinaikkan dengan kadar yang sangat besar.

Tambah beliau, mereka hanya ingin melihat bagaimana agihan keuntungan akhir tahun dalam Tabung Haji itu sendiri dilakukan.

“Ini kerana sekarang pun elaun ahli-ahli Lembaga Tabung Haji sudah besar tapi rakyat hanya mahu melihat bagaimana keuntungan Tabung Haji pada akhir tahun ataupun awal tahun baru yang meningkat.

“Mereka bukannya ingin melihat peningkatan elaun ahli-ahli Lembaga Tabung Haji pun,” ujarnya.

Beliau menggesa supaya perkara sebegini perlu dilihat semula oleh pihak kerajaan dalam pengurusan institusi Tabung Haji. – HARAKAHDAILY 13/11/2024

- Advertisement -