Aturan mesyuarat perbahasan RUU dikeluar agak lewat

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Petunjuk prestasi utama (KPI) daripada maksud bekalan satu di Parlimen Malaysia meletakkan keutamaan yang diberikan oleh Parlimen bagi memastikan pengurusan Dewan Rakyat atau Dewan Negara dijalankan dengan berkesan.

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ia termasuk pemakluman notis mesyuarat dan penerbitan aturan urusan mesyuarat harian dalam tempoh yang ditetapkan.

“Namun sedikit teguran dalam beberapa mesyuarat dalam penggal kali ini. Kita lihat aturan mesyuarat terutamanya berkenaan perbahasan Rang Undang-undang dikeluarkan agak lewat.

“Ini menjejaskan persiapan ahli-ahli termasuk pegawai mereka untuk memahami subjek bahasa yang lebih mendalam. Saya mencadangkan agar ruang lebih panjang diberikan supaya kualiti bahas lebih baik pada masa yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat turur menyampaikan ucapan tahniah kepada pihak pentadbiran Parlimen atas pelbagai reformasi yang telah dilaksanakan.

“Cuma sedikit yang tidak enak apabila kafe (Parlimen) ditutup oleh Jabatan Kesihatan kerana ada alasan-alasan tertentu. Dua minggu pula tutup, jadi terpaksalah kita mencari makanan di luar.

“Kalau kita di Parlimen sendiri di tempat yang menggubal undang-undang tidak boleh patuh kepada peraturan kesihatan, ini satu keaibanlah kepada kita,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu peruntukan yang tidak seimbang antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang telah lama menjadi perdebatan.​​

Sehubungan itu, beliau menyatakan simpati terhadap situasi yang dihadapi oleh V Ganabatirau (PH-Klang) berkenaan isu peruntukan yang tidak mencukupi di kawasan parlimennya.

“Saya mendengar keluhan daripada Yang Berhormat Klang tadi, hampir menangis.. sampai bercucuran air mata saya. Terharu dan sedih kerana Klang mengatakan bahawa peruntukan untuk rakyatnya tidak cukup untuk diagihkan kepada pengundinya.

“Saya rasa agak tersentuh hati dan saya bersimpati dengan nasib yang telah dialami oleh ahli-ahli Parlimen di pihak kerajaan.

“Kami tidak apa tiada peruntukan, tidak mengapa rakyat kami tidak makan beras, makan pasir barangkali,” sinis beliau.

Baru-baru ini, Ganabatirau menyuarakan kebimbangan mengenai peruntukan yang sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengambil kira jumlah pengundi di setiap kawasan dan menganggap ia tidak adil bagi kawasan padat penduduk seperti di Klang.​– HARAKAHDAILY 13/11/2024

- Advertisement -