Kenabian adalah pilihan Allah

- Advertisement -

ALLAH memberitahu bahawa Nabi Isa akan diajarkan pelbagai ilmu, termasuk ilmu menulis, kebijaksanaan, dan isi kandungan kitab Taurat dan Injil.

Kitab Taurat adalah panduan bagi Bani Israel yang diturunkan kepada Nabi Musa, manakala Injil diturunkan kepada Nabi Isa untuk menyampaikan risalah Allah.

Tafsiran lain menyebut bahawa kitab-kitab ini juga boleh merujuk kepada ajaran-ajaran yang mungkin telah disampaikan oleh ulama atau nabi-nabi dari kalangan Bani Israel sejak zaman Nabi Ishak, Nabi Yaakub, hingga Nabi Isa. Dalam sejarah, ada ratusan nabi yang diutuskan dalam kalangan Bani Israel.

- Advertisement -

Pandangan dalam kalangan Yahudi menyebut bahawa terdapat nabi perempuan dalam sejarah mereka. Namun, sebagai Muslim, kita berpegang pada pandangan bahawa semua nabi adalah lelaki.

Allah memilih nabi-nabi-Nya dari kalangan lelaki untuk menyampaikan wahyu-Nya dan memimpin umat ke jalan yang benar.

Menjadi nabi bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dengan usaha atau ikhtiar. Tidak seperti menjadi seorang pendekar, alim, jurutera, atau doktor yang boleh dicapai dengan pembelajaran dan usaha, kenabian adalah pilihan Allah yang sepenuhnya.

Allah sahaja yang menetapkan siapa yang layak memikul tugas mulia ini. Gelaran seperti Tok Guru atau ulama mungkin boleh diberikan, tetapi kenabian adalah sesuatu yang suci dan tidak boleh dilantik oleh manusia. Ini adalah tugas yang hanya Allah tentukan, sebagai amanah yang unik untuk mereka yang dipilih-Nya.

Seperti yang disebut dalam kitab Jauharatut Tauhid, kenabian bukanlah sesuatu yang boleh diusahakan atau dicapai melalui amalan atau ketinggian ilmu. Ayat:

وَلَمْ تَكُنْ نُبْوَّةٌ مُكْتَسَبَةْ … وَلَوْ رَقَى فِي الْخَيْرِ أَعْلى عَقَبَةْ
Menegaskan bahawa walaupun seseorang itu hebat dalam ilmu dan amal, dia tetap tidak akan menjadi nabi. (Rujuk Kitab Jauharah at-Tauhid, Karangan Ibrahim al-Laqqani al-Maliki, Bait ke-63).

Kenabian adalah anugerah yang hanya Allah berikan kepada siapa yang Dia kehendaki. Allah-lah yang memilih nabi-Nya, dan tiada sesiapa yang boleh mengangkat dirinya sendiri ke pangkat tersebut.

Bahkan, dengan jelas dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah penutup segala nabi, dan tiada lagi nabi selepas baginda.

Allah memilih nabi-nabi dari kalangan mereka yang memiliki keturunan yang baik dan akhlak yang terpuji. Ilmu yang diberikan kepada para nabi bukan sekadar hasil pembelajaran biasa, tetapi disampaikan melalui wahyu dan ilham.

Nabi Isa, misalnya, diberi pemahaman dan kebijaksanaan langsung oleh Allah. Ada ilmu yang datang melalui ilham atau dipanggil ilmu ladunni, iaitu ilmu yang Allah tanamkan secara langsung dalam hati tanpa perlu berguru.

Namun, tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai dan hanya diperoleh oleh mereka yang benar-benar dekat dengan Allah.

Allah menyebut mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa sebagai bukti kenabiannya. Nabi Isa dilantik menjadi rasul kepada kaum Bani Israel dan diberi mukjizat yang menakjubkan.

Dengan izin Allah, baginda mampu membentuk burung daripada tanah liat, meniupnya sehingga ia menjadi burung yang hidup. Nabi Isa juga dikurniakan kemampuan menyembuhkan orang yang buta sejak lahir dan mereka yang menghidap penyakit sopak.

Malah, baginda boleh menghidupkan kembali orang yang telah mati, suatu mukjizat yang luar biasa, dengan izin Allah. Selain itu, baginda boleh memberitahu orang-orang tentang apa yang mereka makan dan apa yang mereka simpan di rumah mereka, suatu perkara yang pasti mengejutkan dan membuktikan kebenaran risalahnya.

Menurut riwayat Ibnu Abbas, Nabi Isa dilantik menjadi nabi ketika berusia 30 tahun dan hidup di dunia selama 33 tahun. (Rujuk Tafsir al-Baghawi, Surah Ali Imran, 46). Baginda hanya berdakwah selama tiga tahun sebelum diangkat ke langit oleh Allah.

Nabi Isa akan turun kembali pada akhir zaman untuk memperbetulkan keadaan, menghancurkan simbol-simbol kepercayaan yang batil, seperti salib, serta membunuh babi dan menegakkan keadilan.

Turunnya Nabi Isa juga akan menjadi tanda kebangkitan Imam Mahdi, di mana keadilan akan ditegakkan semula, membawa umat manusia kembali kepada ajaran tauhid yang murni.

Semua mukjizat ini diberikan oleh Allah kepada Nabi Isa sebagai tanda bukti keagungan dan kekuasaan-Nya, serta kebenaran risalah yang dibawa.

Ia menjadi bukti yang jelas bagi mereka yang beriman, bahawa Nabi Isa benar-benar utusan Allah, membawa ajaran yang suci untuk memimpin manusia kembali kepada kebenaran. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -