
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia terutamanya umat Islam berasa amat tersinggung dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang meneruskan kerjasama antara Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dengan Global Infrastructure Partner (GIP).
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, ia disebabkan syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan Israel dan Zionis yang sedang ‘menyembelih’ rakyat Palestin.
Justeru, beliau menegaskan bahawa cadangan penswastaan MAHB melibatkan usaha sama dengan GIP dan BlackRock itu hendaklah ditangguh dan dihentikan.
“Di tanah air kita sendiri ramai yang tersinggung dengan pendirian kerajaan untuk meneruskan cadangan penswastaan MAHB pengendali lapangan terbang di seluruh negara dengan penglibatan entiti asing iaitu GIP dan BlackRock yang disentuh oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang.
“Sedangkan pada 1 Oktober 2024 GIP telah pun muktamad dimiliki 100 peratus oleh BlackRock, pemodal Amerika Syarikat yang secara nyata terlibat secara langsung dalam genosid jenayah perang dan apartheid terhadap warga Palestin,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas beliau, pada 9 Ogos tahun lepas pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengeluarkan satu notis rundingan awam untuk dapatkan maklum balas awam.
Ia menurut beliau adalah berkaitan cadangan percantuman Gateway Development Alliance (GDA) berhubung cadangan penswastaan MAHB di bawah Seksyen 55 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.
“Untuk rekod (Ahli Parlimen) Bachok turut mengambil bahagian dalam proses perundingan awam ini dan telah menyatakan secara bertulis kepada pihak MAVCOM melalui e-mel bertarikh 22 Ogos 2024 bahawa tiada rasional strategik, tiada merit commercial dan tiada asas moral kepada Malaysia untuk berjabat tangan dan duduk semeja dengan penjenayah perang antarabangsa ini,” tegas beliau.
Katanya, beliau mewakili sekalian warga Parlimen Bachok menunjukkan solidariti tidak berbelah bagi terhadap perjuangan Palestin di samping doa dan munajat yang berterusan sokongan dan bantuan tidak bermusim.
“Saya mengikuti ucapan Yang Berhormat Menteri Luar di PBB tempoh hari menzahirkan ketegasan Malaysia dalam isu Palestin. Syabas diucapkan!
“Dengan kepengerusian ASEAN dan OIC, peranan Malaysia perlu dipertingkatkan dan fokus boleh diambil untuk mengambil langkah permulaan bagi menggerakkan komuniti antarabangsa ke arah membina semula Gaza sebagai sebuah wilayah yang boleh berdiri dan berdaulat,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024











