
KUALA LUMPUR: Walaupun aspek ekonomi penting, namun peningkatan kesejahteraan hidup rakyat, khususnya dalam aspek pencapaian pendidikan, kualiti penjagaan kesihatan, serta keselamatan dan ketenteraman awam adalah lebih penting.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, ia memandangkan tekanan hidup mutakhir ini melonjakkan insiden kebejatan sosial dan perlakuan jenayah di luar peri kemanusiaan.
“Pelaksanaan Belanjawan 2025 amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh dan kemakmurannya dikongsi bersama, kerana yang dibelanjakan adalah ‘Kumpulan Wang Yang Disatukan’.
“Dipungut daripada pendapatan, perbelanjaan, pelaburan, dan keuntungan rakyat, termasuk menggerakkan simpanan dan caruman rakyat,” ujarnya.
Justeru, katanya, setiap rakyat Malaysia berhak mempersoalkan setiap ringgit yang dipungut, dan setiap ringgit yang dibelanjakan, demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook beliau sebentar tadi sebagai mengulas pembentangan Belanjawan 2025 yang dibentang di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim petang tadi.
“Seperti dijangka, bajet terbesar dalam sejarah, pertama kali mencecah RM400 bilion; pastinya membawa limpahan kepada ekonomi, juga tekanan kepada defisit dan hutang kerajaan.
“Tema utama, ‘penguncupan subsidi dan peluasan cukai’; bertujuan untuk meringankan beban kewangan kerajaan, meluaskan asas cukai bagi menampung perbelanjaan mengurus (OE) yang tinggi RM335b (80%), walaupun ekonomi sudah kembali normal pasca pandemik,” katanya.
Menurut beliau, impak kepada ekonomi, pertumbuhan KDNK 2024/2025 diunjur positif, inflasi dijangka lebih tinggi, kos sara hidup meningkat, pengangguran menyederhana, kenaikan gaji minimal, hutang kerajaan meningkat, dan keberhutangan rakyat terus meningkat.
“Belanjawan 2025 menyaksikan penerusan pelbagai bantuan tunai kepada rakyat (SARA, STR) untuk menyerap impak kenaikan kos sara hidup serta pengurangan subsidi diesel dan petrol.
“Namun perlu ada strategi keluar (exit strategy) yang mampan supaya tidak menjejaskan ekonomi pada jangka masa panjang,” katanya.
Kata beliau, perbelanjaan pembangunan (DE) RM86b (20 peratus); penerusan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur berskala sederhana, tiada projek mega baharu, perlu dilaksanakan mengikut keutamaan negeri dan berimpak tinggi.
“Mutakhir ini Ringgit kembali kukuh selepas tempoh penyusutan yang panjang, didorong perkembangan luaran (terutamanya jurang kadar faedah Amerika Syarikat), dan disokong ‘penghantaran pulang’ pendapatan luar negara oleh GLC dan GLIC.
“Dalam erti kata lain, dana pelaburan dan ‘caruman rakyat’ digerakkan untuk menampung pengukuhan ringgit dan bursa,” katanya.
Katanya lagi, kemasukan pelaburan asing (FDI) sangat dialukan, khususnya dalam bidang berkemahiran tinggi dan teknologi hijau; namun aspek pemindahan kepakaran, pengupayaan bakat tempatan, dan pemindahan teknologi hendaklah dipertingkatkan. – HARAKAHDAILY 18/10/2024











