Yayasan Amal Malaysia Selangor mahu contohi kejayaan Kedah

- Advertisement -

PERJALANAN hampir 6 jam dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, Kedah menjadi satu pengalaman menarik kerana ia merupakan permusafiran pertama Ahli Jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor dalam tahun 2024.

- Advertisement -

Semangat setia kawan dan kerjasama dalam permusafiran ini ketara apabila media sosial WhatsApp menjadi penghubung antara kami. Seramai 10 Ahli Jawatankuasa diketuai Pengerusi, Cikgu Mohd Nizam Idris menggunakan bas bertolak ke Sungai Petani dari KL Sentral jam 11 malam. Manakala lima Ahli Jawatankuasa menaiki kenderaan sendiri dan bergerak sekitar jam 2 pagi.

Sampai di stesen bas lama Sungai Petani jam 4:45 pagi dan kami bergerak terus ke masjid lama sejauh 200 meter. Masjid menjadi pertemuan kami yang menaiki bas dan Ahli Jawatankuasa yang menggunakan kenderaan sendiri.

Sekitar 6:30 pagi seusai solat Subuh, Naib Pengerusi Yayasan Amal Malaysia yang juga Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah, Haji Zulkifli Baharom menjemput kami menggunakan van Yayasan Amal Kedah. Kami teruja dengan keadaan van tersebut sangat ‘eksklusif’. Ini menjadikan kami bersemangat untuk mengetahui, apa rahsia Cawangan Kedah berjaya mengumpulkan dana dan menjadi Cawangan terbaik.

Kami sarapan di sebuah gerai tepi jalan. Keseronokan ukhuwah terasa bagaikan adik-beradik yang sudah lama tidak bertemu. Roti canai telur sarang, nasi lemak, teh tarik, kopi o menjadi pilihan sehingga terlupa makanan terkenal di Kedah iaitu ‘pek nga’ bersama gulai ikan temenung. Tak apalah, lain kali pekena pek nga.

Sekitar jam 8 pagi kami tiba di Wisma Amal Kedah. Sekali lagi teruja. Terseragam indah bangunan tiga tingkat dengan ‘billboard’ yang cantik, tertera tulisan Yayasan Amal Malaysia Kedah. Peluang keemasan ini kami gunakan untuk merakam gambar dan video.

Masuk dalam pejabat, saya menarik nafas panjang. Di dinding pejabat penuh dengan hiasan poster aktiviti Cawangan Kedah, plak dan sijil penyertaan, al-Quran, bunting wakaf dan sebagainya. Ditambah dengan jualan minyak wangi dan barang-barang keluaran Bumiputera. Menarik!

Kosong berubah juta

Sesi penerangan dan soal jawab oleh Haji Zulkifli yang mesra dipanggil Pak Jol kami gunakan sepenuhnya. Tayangan video aktiviti-aktiviti sumbangan wakaf al-Quran, korban, sumbangan katil pesakit, kerusi roda sama sebagaimana yang Ahli Jawatankuasa Cawangan Selangor lakukan.

Persoalananya, kenapa Cawangan Selangor tidak boleh mendapat dana yang melonjak sebagaimana Cawangan Kedah? Kenapa Cawangan Kedah mampu menarik sumbangan daripada masyarakat di Selangor? Di mana silapnya…?

Penerangan dan penjelasan kami dengar dengan penuh teliti. Begitu juga pertanyaan demi pertanyaan diajukan, dijawab dengan keikhlasan.

“Kami buat poster guna nama Yayasan Amal Malaysia, kami tak guna nama Yayasan Amal Malaysia Kedah. Negeri-negeri boleh guna, tukar je nombor akaun Yayasan Amal Malaysia negeri.

“Iklan penting. Gunakan media sosial, Facebook dan AJK kena ‘like’ dan ‘share’, baru orang ramai tahu.

“Masukkan semua aktiviti dalam Telegram. Jadi bila orang buka nampak semua gambar yang kita lakukan. Nak tarik keyakinan orang..,” ini antara nasihat Pak Jol.

Mengambil peluang menggunakan para ustaz atau tokoh terkenal juga satu cara untuk ‘mempopularkan’ Yayasan Amal Malaysia di mata masyarakat. Namun, penggunaan masjid di negeri Selangor dikawal dengan watikah pelantikan untuk mengadakan kuliah agama di masjid-masjid.

Seusai penerangan kami dijamu dengan nasi Arab… ‘tip top’. Selepas Zuhur, Setiausaha Cawangan Kedah, Haji Alwi membawa kami ke Koperasi Amal. Selepas mendengar penerangan pembuatan dan cara perniagaan ‘meatball’, kami dijamu dengan sup bakso. Sedap sangat..

Permusafiran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor ke Wisma Amal Kedah sarat dengan ilmu. Keberkesanan hasil permusafiran ini pasti berlaku jika ruang dan peluang untuk memajukan diri dan Cawangan Selangor diteruskan. Kerjasama, berganding bahu perlu diutamakan supaya angka akaun dalam bank Cawangan Selangor berubah dan terus meningkat.

Dalam meniti kejayaan, tidak perlu menunding jari mengarah kepada orang tertentu tetapi gandingan kerjasama, kesepakatan dan sealiran pandangan mampu memecah tembok kelesuan dan kebobrokan jemaah dalam badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Amal Malaysia.

Wisma Amal Kedah menjadi saksi Cawangan Selangor akan terus berusaha menarik seramai mungkin penyumbang-penyumbang khususnya di negeri maju, Selangor.

Semoga tiga hari permusafiran bermula 11, 12 dan 13 Oktober 2024 ini menjadikan ukhuwah kami bertambah erat. Bersatu padu memajukan Cawangan Selangor supaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Cawangan Kedah. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -