Rakyat dirundung masalah bekalan, bil air tinggi

Kerajaan Pulau Pinang digesa lebih peka

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan agar lebih peka terhadap masalah rakyat dan bukannya menambahkan lagi bebanan mereka, demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

- Advertisement -

Katanya, dalam keadaan rakyat negeri ini khususnya di Seberang Perai Selatan (SPS) menghadapi masalah bekalan air, namun dalam masa yang sama terpaksa menanggung tarif air agak tinggi.

“Contohnya, isu air di Mukim 5, Sungai Bakap yang semakin meruncing. Penduduk terpaksa menadah air hujan untuk keperluan domestik, keadaan ini tak ubah seperti  pendatang asing di negeri sendiri,” katanya.

Kata Fawwaz, PAS Pulau Pinang khususnya, mengakui usaha Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang telah bertungkus-lumus menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat negeri ini.

Tetapi ujarnya, tarif air meningkat menambahkan lagi bebanan rakyat yang sedia terbeban dengan pelbagai kos meningkat sekarang ini.

Pada 24 September lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, masalah air di situ telah berlarutan selama lima hari, di mana bekalan air hanya datang dalam tempoh yang sangat singkat setiap hari.

Malah katanya lagi, penduduk sebelum itu telah beberapa kali menggesa kerajaan negeri supaya menerima tawaran Kedah untuk membeli lebihan air daripada Loji Rawatan Air Lubuk Buntar sebagai langkah menyokong keperluan di selatan negeri ini, namun ditolak.

Sedangkan ujar beliau, sehingga kini tiada penyelesaian konkrit dilaksanakan, sedangkan penduduk berdepan gangguan bekalan air yang berterusan, tidak kira dalam musim kemarau mahupun banjir.

Sementara ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail juga mendesak agar pihak berwajib segera menangani masalah kebocoran paip yang berlaku di kawasan Politeknik Permatang Pauh.

Menurut Abidin, kebocoran itu menjadi penyebab gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk terutama di Taman Widuri dan Taman Seruling Emas serta beberapa lokasi lagi.

“Justeru kami (PAS Pulau Pinang) mengharapkan agar kerajaan Pulau Pinang dan pihak terbabit tidak mengenepikan keperluan rakyat dalam isu air ini.

“Juga masalah air di Sungai Bakap terutama di Mukim 5 ini dapat diselesaikan segera,” tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi. – HARAKAHDAILY 29/9/2024

- Advertisement -