MyGAP bukan hanya diiktiraf dalam negara sahaja

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, di Terengganu terdapat seramai 599 orang pengusaha penternak akuakultur.

Menurutnya, 462 adalah penternak air tawar sementara 137 pengusaha air payau.

Tambahnya, antara spesies air tawar yang paling banyak diternak ialah baung, patin, tilapia dan keli sementara spesies air payau termasuk siakap, kerapu hibrid, udang harimau dan udang putih.

- Advertisement -

Katanya, cabaran pasaran masa kini memerlukan produk pertanian, penternakan dan perikanan mempunyai persijilan kualiti yang mengesahkan hasil keluaran adalah selamat, berkualiti dari segi biosekuriti.

“Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) diakui bukan hanya dalam negara malah diiktiraf oleh negara luar,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Ini susulan beliau merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Rend Kenyir di Auditorium Pusat Sains dan Kretaiviti Terengganu, di sini, hari ini.

“Seminar Amalan Pertanian Baik sektor perikanan pada hari ini adalah sebahagian usaha kita bagi memastikan produk akuakultur Terengganu memiliki sijil MyGAP,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada 43 orang pengusaha akuakultur yang telah berjaya mendapat MyGAP manakala bakinya perlu berusaha. – HARAKAHDAILY 29/9/2024

- Advertisement -