GISB: Mangsa kanak-kanak perlu diberi sokongan

Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan di atas usaha mereka memberikan akses pendidikan formal dan berstruktur kepada anak-anak yang diselamatkan dari premis Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).

Ketua DMPM, Nuridah Mohd Saleh, berkata terdapat remaja dan kanak-kanak di dalam lebih 20 rumah jagaan GISB sekitar Selangor dan Negeri Sembilan telah diselamatkan oleh kementerian itu sejak 11 September lalu.

“Namun begitu, selain pendidikan kanak-kanak dan remaja ini perlu juga diberikan bantuan kewangan dan psikologi memandangkan mereka mungkin telah lama berada di dalam keadaan yang mendukacitakan, seperti yang dilaporkan.

- Advertisement -

“Data-data mereka haruslah diambil secara terperinci bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan keadaan kanak-kanak atau remaja yang terlibat.

“Seterusnya pihak yang berautoriti perlu mengambil tindakan drastik menyelamatkan akidah, memberi bantuan psikologi dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Nuridah berkata, pihaknya juga amat mengharapkan satu siasatan yang adil dan telus agar segera dijalankan rentetan dari pelbagai kegiatan dan aktiviti telah dibongkarkan.

“Ini sangat melampau, mengaibkan dan merisaukan didengar berselindung di sebalik GISB. Sekiranya perkara ini benar, ia amat memalukan dan menzalimi banyak pihak.

“Sepertimana hadis Rasulullah SAW, ‘bukan dari kalangan kami orang yang tidak menunjukkan belas kasihan kepada anak-anak kecil (kami) dan orang tua (kami)’, hadis riwayat Ahmad,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak dapat mengutamakan kesejahteraan wanita, remaja dan kanak-kanak yang diselamatkan ini.

“Mereka tidak harus dihukum atas perlakuan atau keputusan yang diambil ibu bapa mereka,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan polis berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak daripada rumah amal berkaitan dengan GISBH melalui Op Global yang dilaksanakan di beberapa negeri.

GISBH didakwa mengeksploitasi kanak-kanak malah ada sebahagian mereka ini ‘dibinkan’ dengan Abdullah, sekali gus tidak mengenali ibu bapa masing-masing.

Kesemua mereka berjaya diselamatkan dalam serbuan ke atas 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan milik GIBSH. – HARAKAHDAILY 29/9/2024

- Advertisement -