
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan dua negeri sehingga jam 12 tengah hari, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara negeri yang terlibat iaitu beberapa kawasan di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Antara kawasan di Sarawak adalah di Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya) dan Miri (Miri),” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2024











