
HULU TERENGGANU: Temasya Tranung Kite yang diadakan di Kuala Berang bermula 8 hingga semalam berjaya menjana pendapatan sebanyak RM700,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata pendapatan itu melibatkan masyarakat tempatan melalui sewaan, jualan, bayaran persembahan dan hadiah pertandingan.
“Kuala Berang dipilih sebagai lokasi program berkenaan kerana kedudukannya yang strategik, memudahkan akses dari LPT2 dan memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan pesisir sungai serta tempat-tempat menarik seperti Tasik Kenyir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Temasya Tranung Kite 2024 di Kuala Berang, semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Persatuan ATMA Seni Budaya Terengganu.
Beliau berkata, kedatangan pengunjung juga menarik lebih 15,000 orang dari seluruh negara sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan.
“Kita menyasarkan lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dan telah berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung,” katanya.
Maliaman berkata, pelbagai acara menarik yang diadakan pada temasya berkenaan termasuk Kejohanan Gasing Terbuka Asean, Kejohanan Ayam Serama Terbuka, Pertandingan Wau dan pelbagai lagi.
“Keberhasilan acara ini tidak hanya terletak pada jumlah pengunjung yang tinggi, tetapi juga pada penyertaan aktif komuniti tempatan dan penggiat seni yang menjayakan pelbagai aktiviti budaya.
“Program ini diharapkan akan menjadi pusat berhimpunnya penggiat-penggiat seni budaya tempatan, khususnya dari negeri Terengganu, untuk meneruskan kreativiti dan karya-karya mereka,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang telah menyokong dan membantu menjayakan program berkenaan. – HARAKAHDAILY 11/8/2024











