RUU 355: Speaker Dewan Rakyat belum terima usul

- Advertisement -

KOTA BHARU: Speaker Dewan Rakyat memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang usul bagi meneruskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

- Advertisement -

Tan Sri Johari Abdul berkata, pada amalan kebiasaan pejabat Speaker akan menerima borang cadangan tersebut selama 14 hari sebelum sebarang persidangan Dewan Rakyat bermula.

Beliau berkata, persidangan Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 dijangka bermula September depan termasuk pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya, saya belum mendapat apa-apa lagi daripada mana-mana pihak, lazimnya apa yang berlaku ialah dia akan bagi lebih kurang 14 hari sebelum persidangan, mungkin jauh lagilah.

“Mungkin sebelum 14 hari, sebelum persidangan sebenarnya akan berlaku pada 14 September hingga 10 Oktober mungkin tuan dia akan buat, sekarang ini saya tidak nampak apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Kerja ke DUN Kelantan sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.

Pembentangan RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut syariah.

Pada 15 Julai lalu, Anwar dilaporkan berkata, Majlis Raja-Raja mahu pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), dibuat dengan teliti. – HARAKAHDAILY 11/8/2024

- Advertisement -