Kedah: Warisan sejarah yang perlu diteroka

Sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025

- Advertisement -

EXPERIENCE Kedah bukan sekadar ‘tagline’ Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, tetapi mengajak para pengunjung merasai keunikan negeri itu dengan pelbagai panorama, budaya dan adat resam.

- Advertisement -

Kedah yang diketahui antara terulung serta terawal membina tamadunnya di Asia Tenggara di era Kedah Tua serta merupakan pengeluar utama besi ketika itu.

Negeri yang kaya dengan warisan serta khazanah sejarah, antaranya Lembah Bujang serta Sungai Batu merupakan tapak arkeologi tertua berusia ribuan tahun, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Asia Tenggara.

Pameran dan interaktif serta rekreasi sejarah boleh diadakan untuk menarik minat pelancong, di samping Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang banyak menyimpan artifak bersejarah kegemilangan Kedah di zaman silam.

Peninggalan artifak sejarah itu membuktikan Kedah pernah menjadi pusat perdagangan yang penting malah kesan-kesan wujudnya pelabuhan kapal di Sungai Batu, mengukuhkan lagi fakta bahawa Kedah negeri yang maju suatu ketika dahulu.

Kesan peninggalan sejarah sedemikian secara tidak langsung mampu menggamit pengunjung yang gemar meneroka sejarah, sungguhpun setengah pendapat mengatakan sejarah kebanyakannya ditokok tambah dengan cerita mitos. Namun warisan peninggalan masih terpelihara di negeri ini, adalah fakta yang diakui pengkaji sejarah.

Bukan sekadar warisan Kedah Tua tetapi kesan-kesan peninggalan perang yang dibukukan pengkaji sejarah khususnya kisah Perang Musuh Bisik, masih utuh di Kuala Kedah iaitu Kota Kuala Kedah.

Perang Musuh Bisik yang mengisahkan bagaimana kejituan nenek moyang Kedah dahulu mempertahankan tanah air dari serangan Siam yang dibantu British, sungguhpun kecundang.

Kisahnya bermula pada tahun 1821 di mana waktu itu beratus-ratus perahu Siam datang di Kuala Sungai Kedah, atas alasan memohon bekalan beras kerana waktu itu Siam sedang berperang dengan Burma.

Misi mereka sebenarnya bukanlah untuk mengumpul bekalan, sebaliknya untuk menangkap sultan serta menakluk seluruh Kedah dan perbuatan tersebut mendapat perkenan Raja Siam ketika itu.

Oleh sebab tentera-tentera Kedah pada masa itu tidak sepenuhnya bersedia dan tidak menyangka Siam datang ke Kedah mempunyai agenda lain, maka dalam tempoh singkat Kota Kuala Kedah tumbang dan ratusan terkorban.

Ini mungkin antara menarik bagi penggemar sejarah meneroka kisah-kisah lampau Kedah yang pernah menempa kegemilangannya  suatu ketika itu.

TMK 2025, tidak hanya menghidangkan kepada pengunjung lokasi pelancongan menarik, makanan tempatan lazat, budaya masyarakat kampung yang tersendiri dan lain-lain, tetapi memperkenalkan dari sudut sejarah agar Kedah lebih dikenali.

Seperti biasa, ‘tak kenal maka tak cinta’ negeri Jelapang Padi kini bersedia dikunjungi pengunjung dengan rakyatnya ramah tamah, pemurah dan mesra tetamu. – HARAKAHDAILY 11/8/2024

- Advertisement -