
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada jaguh trek berbasikal negara, Dato’ Azizulhasni Awang di atas segala pengorbanan serta jasa selama ini.
Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pembatalan penyertaan Azizulhasni dalam acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 sudah pasti meremukkan hati seluruh rakyat Malaysia.
Ini berikutan Azizulhasni yang memotong pacer dalam acara keirin menyaksikan penyertaannya dibatalkan dalam saringan pertama.
“Keadaan ini, sudah pasti lebih meremukkan hati tuan badan sendiri. Usaha dan pengorbanan beliau untuk capai ke tahap ini tidak mudah.

“Kesihatan, masa bersama keluarga, emosi diri dan banyak lagi terpaksa diketepikan demi menyumbang sebutir pingat kepada negara tercinta dan membawa nama Malaysia ke persada dunia,” katanya menerusi catatan di Facebook Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Tambah Afnan lagi, Azizul sebelum ini pernah mengayuh dalam keadaan kaki tertusuk kayu di Siri Piala Dunia Klasik demi negara.
Malah, beliau tetap meneruskan perjuangan kali ini biarpun baru selesai menjalani pembedahan jantung.
Oleh itu, beliau berkata, biar apapun terjadi, rakyat Malaysia perlu terus bersatu hati dan bersolidariti memberi sokongan sepenuhnya kepada Azizulhasni.
“Tinggalkan sebarang cercaan dan makian hanya kerana kekecewaan kita tidak mampu melihat aksi cemerlang Dato’ Azizulhasni dalam sesi kali ini.
“Segala yang berlaku adalah atas izin-Nya dan kita bersama-sama mendoakan yang baik-baik sahaja.
“Sekali The Pocket Rocketman, selamanya The Pocket Rocketman. Anda tetap juara di hati kami!” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2024











