Guru zahir usaha luar biasa memanusiakan pelajar

Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah (kanan) bersalaman dengan Ustaz Marzuki Musa pada majlis berkenaan..
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berpuas hati dengan prestasi para guru yang sentiasa menzahirkan usaha yang luar biasa bagi memanusiakan anak-anak pelajar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri itu berkata, semua gerak kerja itu pastinya juga dicetuskan dan dimulakan dengan peranan watak utama di sekolah iaitu pengetua.

Beliau menyatakan demikian pada satu majlis meraikan penghargaan sempena pertukaran Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Ustaz Marzuki Musa ke sekolah lain.

“Meskipun perkenalan saya singkat bersama Ustaz Marzuki Musa, namun setulus hati saya katakan bahawa beliau merupakan seorang pengetua yang hebat dan benar-benar menjalankan tanggungjawabnya dengan begitu baik.

“Pastinya kami memerlukan jalinan kerjasama dan hubungan yang sinergi bagi memantapkan hubungan antara pihak sekolah dan PIBG.

“Sepanjang menerajui PIBG di sini, saya cukup berpuas hati dengan prestasi guru-guru yang sentiasa menzahirkan usaha yang luar biasa bagi memanusiakan anak-anak pelajar di sini,” ujarnya yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Nilam.

Pada catatan di laman sosialnya hari ini, beliau turut menekankan bahawa setiap manusia telah diatur perancangan kehidupannya oleh Allah SWT dan pastinya itu adalah terbaik buat hamba-Nya.

“Selamat maju jaya buat Ustaz Marzuki Musa di sekolah baharu. Teruskan melakar kecemerlangan dan mencipta sejarah.

“Terima kasih juga atas segala kerjasama dan kerja buat Ustaz Marzuki sepanjang menerajui SMK Seri Nilam,” tambahnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam.  – HARAKAHDAILY 11/8/2024

- Advertisement -