
KEMAMAN: Sebuah bot memancing dilaporkan dilanggar tongkang ketika berlabuh di lokasi 7 batu nautika lebih kurang 13 kilometer dari perairan Kuala Kemaman, awal pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, seramai sembilan orang yang terlibat dalam kejadian pelanggaran dua bot berkenaan.
“Setakat ini lima orang selamat, dua meninggal dunia dan dua orang lagi masih belum ditemui.
“Minta doa semua agar dipermudahkan segalanya urusan ini. Semoga dua lagi akan selamat dijumpai. Pakat doa semua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Beliau turut sama turun ke laut untuk melihat keadaan semasa di tempat kejadian kemalangan bot nelayan bersama pihak agensi kerajaan dan sukarelawan.
Terdahulu, media melaporkan, akibat perlanggaran itu, seorang wanita dilaporkan lemas, sementara empat yang lain berjaya diselamatkan oleh tekong bot dan dibantu bot nelayan berhampiran.
Usaha mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan membabitkan semua agensi penguatkuasaan dan dibantu oleh nelayan tempatan. – HARAKAHDAILY 11/8/2024











