
KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Global Unity Network (UNITY) yang bersama dalam menganjurkan lawatan guru agama ke kuil bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) perlu teruskan usaha dakwah, walaupun terdapat cabaran dalam mengurus salah faham yang berlaku akibat daripada video tular menyamakan agama Hindu dan Islam.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, Global Unity Network (UNITY) adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang sangat boleh dipercayai.
“Dan saya yakin tujuan asal lawatan tersebut pasti ada objektif besar yang hendak dicapai.
“Namun, jangan nafikan kekesalan masyarakat apabila ada ulasan daripada salah seorang peserta yang hadir ke lawatan tersebut.
“(Peserta itu) memberi kesimpulan mentah terdapat banyak persamaan agama Islam dan agama Hindu yang pastinya mengundang perdebatan yang panjang di kalangan masyarakat yang tidak hadir pun ke lawatan tersebut,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Menurutnya, ucapan dan ulasan tersebut telah ‘dimediasosialkan’ dan sudah pasti ia akan memberi kesan secara tidak langsung.
“Namun usaha dakwah perlu berjalan dengan lebih rancak, dan saya ucapkan tahniah kepada UNITY dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Yang baik, kita teruskan, yang tak baik, kita pertingkatkan jadi baik, insya-Allah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 4/8/2024











