
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan, Prof Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad menyifatkan Ahli Majlis Kerta Tertinggi Umno, Dato’ Dr Mohd Puad Zarkashi bukanlah orang yang layak untuk bercakap mengenai idea penubuhan BERSATU.
“Dari mana dia dapat idea yang BERSATU adalah cetusan idea Lim Kit Siang? Saya pun tak tahu. Yang pasti Puad dah bankrap idea melihat BERSATU dan PAS menerusi Perikatan Nasional telah mengatasi Umno dalam meraih sokongan orang Melayu.
“Kenapa? Sebab orang Melayu termasuk orang Umno sendiri tak suka Umno bekerjasama dengan DAP. Ada perwakilan Umno dalam persidangan bahagian mereka pun terang-terang bercakap tak suka kepada DAP.
“Jadi Puad cipta ‘idea’ yang merepek ini untuk mengaburi mata ahli-ahli Umno. Kononnya BERSATU lebih buruk daripada Umno. Come on lah Dato’ Puad. Don’t be a low class politician. Awak berpendidikan tinggi,” bidasnya dalam media sosial miliknya hari ini.
BERSATU ujar beliau, sudah melepasi fasa kerjasama dengan DAP dan tahu baik buruknya di mana nyata Dr Marzuki, hakikatnya DAP lebih banyak buruk daripada baik yang menyebabkan BERSATU buat keputusan untuk keluar Pakatan Harapan pada tahun 2020.
“Maka terpelantinglah DAP daripada Kerajaan Persekutuan. Umnolah yang kutip balik DAP masuk dalam kerajaan selepas PRU15.
“Sekarang perjuangan Umno telah dirosakkan oleh DAP. Orang-orang Umno pun sedar akan hakikat ini. Persoalannya, adakah Umno akan meninggalkan DAP untuk menyelamatkan perjuangannya sepertimana yang telah dilakukan oleh BERSATU dan PAS pada suatu masa dahulu?
“Inilah yang sepatutnya difikirkan oleh Puad sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dalam Umno. Bukannya melemparkan tuduhan yang tak masuk akal terhadap BERSATU demi menutup kelemahan sendiri,” bidasnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/8/2024











