Nenggiri bakal tamatkan karier politik Zahid

Roslan Shahir Mohd Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri dilihat bakal menamatkan karier politik Presiden Umno, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Zahid perlu menyedari bahawa Nenggiri dan Parlimen Gua Musang memang merupakan kubu Umno sejak puluhan tahun dulu, namun hari ini sudah menolak Umno.

“Umat Melayu mahukan kepimpinan yang berintegriti, bertaqwa dan berwibawa untuk memimpin mereka.

“Bukan pemimpin yang gagal, yang korup apatah lagi menolak pula agenda Penyatuan Ummah sehingga sanggup bekerjasama dengan DAP.

“Nenggiri telah bersuara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lalu, kali ini demi Zahid mereka akan bersuara lebih lantang lagi, biar beliau sedar yang umat Melayu telah pun tekad berubah ke arah kebaikan,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Ujarnya, PRK DUN N.43 Nenggiri itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan simbol PAS dan calon Umno dari Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) yang gunakan simbol dacing.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketara yang paling sibuk menunjukkan kehadirannya di sana selain keluar dengan berbagai kenyataan adalah Zahid.

Nenggiri kata Roslan, menjadi penting kerana ia kayu ukur relevan atau tidak kepimpinan Zahid yang semakin dilihat umpama liabiliti buat Umno.

“Malah bukan sahaja buat Umno, rakannnya PH juga melihat beliau liabiliti yang telah membebankan PH setelah gagal membawa sokongan Melayu kepada kerajaan PH-BN.

“Untuk itu Zahid terpaksa pergi ‘all out’ (secara menyeluruh) di Nenggiri, jika kecundang juga kali ini, masa depan politik beliau turut bakal menjunam.

“Sejak menolak usaha permuafakatan politik blok parti-parti Melayu Islam terbesar kononnya atas alasan ijtihad politik beliau, Zahid semakin dipinggirkan semua pihak luar dan dalam.

“Malangnya dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan selamat pula dari tindakan mahkamah Zahid seakan tidak nampak segalanya dan masih merasakan beliau mampu mengangkat kembali Umno sebagai parti arus perdana sebagaimana satu waktu dahulu,” ujarnya.

Namun katanya, Zahid terus melangit mengeluarkan kenyataan tidak sedar semakin banyak beliau bersuara semakin tipis penerimaan rakyat terhadapnya.

Dalam pada itu, Roslan menyebut bahawa di Nenggiri sebagaimana dilaporkan mengulas berkenaan calon PN beliau mendakwa, ‘PAS bukan sahaja menunggang Islam tetapi menunggang rakan politiknya Bersatu’.

“Kenyataan menyerang PAS seumpama ini semakin menjauhkan rakyat khasnya umat Melayu dari beliau. Hakikatnya PAS hari ini bukan lagi parti kecil yang boleh ditunjal-tunjal.

“Hakikatnya PAS hari ini lebih besar popularitinya dari Umno sendiri malah dari keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu PAS terbit sebagai parti Melayu Islam terbesar di Parlimen dengan 43 kerusi selain menguasai 4 negeri jaun tinggalkan Umno yang cuma ada 26 kerusi. Umat Melayu sudah beralih ke PAS dan PN,” terangnya.

Bidasnya, menuduh PAS menunggang agama adalah menggunakan skrip sama sepertimana parti DAP, yang mana skrip itulah yang DAP gunakan terhadap PAS dan hari ini Zahid menggunakan pula skrip kawannya.

“Maklumlah Zahid Presiden Umno yang bertanggungjawab mengijab kabulkan hubungan DAP dan Umno yang dikesali umat Melayu khasnya ahli-ahil Umno sendiri hingga ke saat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

- Advertisement -