Pemangku Raja Perlis bertemu Dewan Perniagaan Qatar

- Advertisement -

KANGAR:  Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah mengadakan pertemuan dengan pihak Dewan Perniagaan Qatar di Doha, Qatar.

- Advertisement -

Pertemuan berlangsung dalam perjalanan balik baginda ke tanah air selepas mengetuai Lawatan Khas Safar Ilmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Nigeria.

Menurut kenyataan MAIPs semalam,  pertemuan tersebut diketuai oleh Naib Pengerusi Pertama QC, Mohammed Ahmed Twar Al Kuwari.

Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail serta Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Baginda dan delegasi memperkenalkan peluang-peluang serta potensi pelaburan dan beberapa insentif yang ditawarkan oleh Perlis.

Antara sektor utama yang dibincangkan untuk pelaburan di Perlis termasuk pelancongan, pertanian, perlombongan, logistik, pendidikan, dan perikanan.

Baginda turut mengalu-alukan ahli perniagaan Qatar untuk melawat Perlis dan melihat sendiri keindahan negeri yang dikenali sebagai ‘Damai dan Menawan’ ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Selain pertemuan dengan Dewan Perniagaan itu, Tuanku Pemangku Raja juga meluangkan masa bertemu dengan pihak Al Faizal Holdings, Al Jameel Showroom.

Baginda juga mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil daripada The Malaysian Association of Qatar (MAQ) dalam sesi berasingan di mana turut sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – HARAKAHDAILY 3/8/2024

- Advertisement -