
KOTA BHARU: Pantai Timur memiliki kilang Paip High Density Polythylene (HDPE) yang pertama apabila kilang terbabit beroperasi di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.
Kilang HDPE Kel Intaaj tersebut dimiliki Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) yang merupakan syarikat induk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, KUM mengadakan usahasama dengan syarikat yang prominen dalam sektor pembuatan paip HDPE, iaitu Dura Mine Sdn Bhd.
Katanya syarikat terbabit mempunyai kilang paip di Selangor.
“Syarikat yang menggunakan paip keluaran kilang Dura Mine termasuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Jabatan Sumber Air Kelantan, Syarikat Air Negeri Sembilan, Air Selangor Sdn Bhd, Syarikat Air Negeri Sembilan, Ranhill SAJ Holdings Sdn Bhd, KKLW Kedah dan Syarikat Air Melaka Berhad.
“Kilang Kel Intaaj memperolehi Certificate of Completion and Compliance (CCC) dan kelulusan Lesen Pengilang daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya pada kenyataan di sini.
Menurutnya paip keluaran KISB turut mendapat pengesahan kualiti Watermarks Certification (Malaysia) Sdn Bhd, iaitu badan pensijilan yang diperakui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia (SPAN).
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, pembinaan kilang berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu Non Revenue Water (air tidak berhasil) sehingga menjejaskan bekalan air bersih kepada pengguna.
Beliau juga berkata, bangunan kilang paip Kelantan Inttaj berkeluasan 34,744 kaki persegi dan tapak kilang pula berkeluasan 1.7 hektar yang dipajak daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Bangunan tersebut mengandungi bahagian pengeluaran dan stor yang boleh memuatkan tujuh unit mesin pengeluaran paip HDPE, manakala bahagian kedua menempatkan ruang pejabat, surau, bilik mesyuarat, makmal, reception dan bilik air.
“Sekarang hanya dua unit mesin pengeluaran sahaja yang siap dipasang untuk pengeluaran paip HDPE bersaiz 110mm–225mm dan bersaiz 20mm–75mm.
“Dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan pengeluaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024











