
TAWAU: Pemuda PAS Kalabakan sentiasa memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di PASTI terkini mengikut perkembangan pendidikan negara.
Menurut ketuanya, Razman Roslee, mereka komited membangunkan pendidikan Islam pada usia anak-anak seawal prasekolah sebagai pengukuhan teras dalam meneruskan pengajian yang lebih tinggi selepas menamatkan sesi persekolahan di PASTI.
“Kami mengadakan bengkel bagi mewujudkan sistem training of trainer dalam kalangan guru-guru untuk membina karakter dan penyampaian yang lebih mantap dalam proses pendidikan.
“Secara tidak langsung, sebagai ulang kaji bagi melakukan penambahbaikan dan perubahan dalam silibus untuk mengajar,” ujarnya semasa perasmian penutup Bengkel Buku Teks 2.0 PASTI Zon Tenggara di sini, hari ini.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu telah disertai oleh hampir 30 guru PASTI dari Tawau, Kalabakan dan Semporna yang melibatkan empat orang jurulatih utama PASTI negeri.
Razman memaklumkan, prestasi PASTI sangat membanggakan sehingga menjadi salah satu antara pusat pendidikan prasekolah terbaik di Malaysia.
Katanya, guru umpama arkitek masa hadapan bagi membentuk asas yang kukuh kepada murid dengan membimbing dan mendidik mereka sehingga mencipta kejayaan.
Selain itu, ujarnya tugas guru amat mulia kerana memberi serta mendidik ilmu kepada murid sesuai dengan hadis iaitu apabila seseorang meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.
Razman turut berharap, lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke PASTI dan menerima silibus pendidikan prasekolah tersebut yang ternyata berkesan bagi membentuk serta membina karakter insaniah dalam diri murid. – HARAKAHDAILY 8/7/2024











