Projek RMM Kelantan di Kg Badang dilaksana semula

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selepas tertangguh beberapa tahun akibat penularan wabak COVID-19, kini projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) di Kampung Badang dilaksanakan semula.

- Advertisement -

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri merangka dasar RMMK 2020 menyediakan kediaman sempurna.

Malah pihaknya melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sentiasa memantau perkembangan projek tersebut agar siap mengikut tarikh ditetapkan.

“Mungkin ramai tertanya-tanya apakah status RMMK di Badang? Alhamdulillah hari ini mesyuarat pemantauan baki kerja diadakan penyelarasan fasa akhir pembinaan.

“Untuk makluman setakat hari ini pembinaan RMMK ini sudah mencapai 80 peratus dan insyaAllah pembinaan ini dijangka siap akhir Ogos ini,” katanya dalam laman sosial semalam.

Lapan tahun lalu kerajaan negeri pernah mengumumkan untuk membina sebanyak 334 unit RMMK di Kampung Badang, Pengkalan Chepa dekat sini yang merupakan projek pertama kerajaan.

PKINK melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu melaksanakannya di atas tanah seluas 4.922 ekar mempunyai tiga blok apartmen tujuh hingga 11 tingkat.

Pembinaan tersebut mengandungi sebanyak 162 unit rumah kos rendah, 108 unit kos sederhana rendah dan 64 unit kos sederhana menjadikan keseluruhannya adalah 334 unit.

Selain itu RMMK Badang turut mempunyai kemudahan surau, sebuah dewan dan bilik persalinan, tadika dan kawasan lapang bagi penduduk menjalani kehidupan yang sihat.

Media juga melaporkan kos pembangunan ketika itu adalah sebanyak RM43,257,194 dan kerajaan negeri bersetuju menanggung sebahagian nilai projek iaitu sebanyak RM9 juta. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -